TEHRAN: Sebuah sinagog di ibu negara Iran dilaporkan musnah sepenuhnya selepas menjadi sasaran serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel, hari ini.
Kejadian yang berlaku di tengah-tengah ketegangan memuncak di Asia Barat itu menyaksikan bangunan keagamaan dikenali sebagai Sinagog Rafi‑Nia itu ranap akibat bedilan projektil dalam operasi ketenteraan berkenaan.
Advertisement
Media tempatan melaporkan pasukan penyelamat sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Beberapa naskhah kitab suci Ibrani turut ditemukan bertaburan di celah sisa binaan yang musnah dalam serangan di pusat bandar itu.
Jurucakap pihak berkuasa tempatan berkata, serangan udara terbabit turut mengakibatkan kerosakan serius kepada beberapa bangunan kediaman dan infrastruktur awam yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Kejadian itu menyusul selepas White House sebelum ini mengeluarkan amaran keras terhadap Tehran berhubung penutupan laluan perkapalan strategik di rantau berkenaan.
Untuk rekod, Iran mempunyai komuniti Yahudi antara yang terbesar di Asia Barat dan rumah ibadat tersebut merupakan antara mercu tanda sejarah komuniti berkenaan di Tehran.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah kemalangan jiwa, manakala penilaian kerosakan menyeluruh masih dijalankan oleh pihak berkuasa Iran.