Skip to main content
Advertisement

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump dakwa AS telah bersihkan Selat Hormuz daripada periuk api

Sumber: REUTERS
Presiden Trump menegaskan, Amerika Syarikat kini menguasai Selat Hormuz "100 peratus."
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, Tentera Laut AS telah membersihkan keseluruhan Selat Hormuz daripada ancaman periuk api dan kini menguasai sepenuhnya laluan perkapalan strategik berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Pejabat Oval pada Isnin, Trump berkata, Selat Hormuz kini berada di bawah kawalan penuh Tentera Laut AS.

"Ia kini dibuka. Satu-satunya pihak yang menguasai Selat Hormuz ketika ini ialah Tentera Laut Amerika Syarikat," katanya.

Trump turut mendakwa, terdapat usaha untuk meletakkan periuk api di kawasan tersebut, namun ia berjaya dikesan dan dinyahaktifkan oleh pihak AS.

"Kadang-kadang mereka meletakkan periuk api dan kami menemuinya. Kami telah membersihkan keseluruhan selat itu daripada periuk api, sama ada anda mendengarnya atau tidak," katanya.

Beliau menegaskan, AS kini menguasai Selat Hormuz "100 peratus."

Kenyataan Trump itu dibuat ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus meningkat berhubung pembukaan semula laluan perairan penting tersebut.

Terdahulu pada Isnin, Trump menetapkan syarat baharu dalam rundingan dengan Iran apabila menuntut Tehran membayar pampasan atas pelbagai tindakan yang didakwanya dilakukan negara itu pada masa lalu.

Tuntutan tersebut dibuat sebagai tindak balas kepada pendirian Iran yang mahu AS membayar pampasan sebelum Selat Hormuz dibuka semula untuk laluan perkapalan antarabangsa.

Iran sebelum ini memaklumkan bahawa perjanjian dengan Oman bagi menguruskan pergerakan kapal di Selat Hormuz tidak memadai untuk membuka semula laluan itu selagi Washington tidak memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan Tehran.

Antara syarat yang dikemukakan termasuk pembayaran pampasan, penamatan sekatan ekonomi serta penghentian ancaman ketenteraan terhadap republik Islam berkenaan.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menjadi titik utama penghantaran minyak dan gas dari negara-negara Teluk ke pasaran antarabangsa. Sebarang gangguan di laluan itu berpotensi memberi kesan besar kepada perdagangan global serta harga tenaga dunia. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement