Skip to main content
Advertisement

Dunia

Konflik Asia Barat: Trump tuntut Iran bayar pampasan, ketegangan rundingan Selat Hormuz memuncak

President Donald Trump speaks in the Oval Office of the White House about Dulles International Airport modernization, Wednesday, July 29, 2026, in Washington. (AP Photo/Julia Demaree Nikhinson)
Presiden Trump tuntut Iran bayar pampasan kepada mangsa yang terkorban dan cedera dalam pelbagai konflik yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Tehran, sekali gus menolak tuntutan balas Iran yang mahukan ganti rugi bagi kerosakan akibat konflik ketenteraan selama lima bulan. - Gambar AP
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menuntut Iran membayar pampasan kepada mangsa yang terkorban dan cedera dalam pelbagai konflik yang didakwanya mempunyai kaitan dengan Tehran, sekali gus menolak tuntutan balas Iran yang mahukan ganti rugi bagi kerosakan akibat konflik ketenteraan selama lima bulan.

Trump berkata, tuntutan Iran terhadap pampasan kerosakan yang dialami negara itu merupakan satu "idea menarik", namun menegaskan, Tehran sebaliknya, perlu bertanggungjawab terhadap kehilangan nyawa dan kecederaan yang berlaku dalam beberapa konflik serta serangan yang didakwa disokong Iran.

"Saya juga menuntut pampasan daripada Iran bagi semua orang yang terbunuh dan cedera parah," kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.

Menurut Trump, tuntutan itu merangkumi individu yang terbunuh atau cedera dalam serangan dan peperangan yang dikaitkan dengan Iran, termasuk keluarga mangsa serangan ke atas kapal perang USS Cole pada tahun 2000 serta insiden lain yang didakwanya mempunyai hubungan dengan Tehran.

Beliau turut mendakwa, Iran perlu membayar pampasan kepada keluarga penunjuk perasaan yang terbunuh dalam tempoh beberapa dekad lalu, selain menyatakan perkara itu akan dimasukkan sebagai syarat dalam sebarang rundingan masa depan antara Washington dan Tehran.

Kenyataan Trump dijangka merumitkan lagi usaha diplomatik yang sedang dijalankan bagi membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi penghantaran minyak dunia.

Iran sebelum ini menegaskan, pembukaan semula selat berkenaan bergantung kepada beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh AS, termasuk pembayaran pampasan bagi kerosakan perang, penamatan sekatan ekonomi, penghentian ancaman ketenteraan serta pembebasan aset Iran yang dibekukan.

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pada hujung minggu lalu turut dilaporkan menyatakan Selat Hormuz akan kekal ditutup sehingga Washington "membetulkan tingkah lakunya" dan memenuhi tuntutan yang dikemukakan Tehran.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia kerana menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab dan menjadi laluan utama eksport minyak mentah dari negara-negara pengeluar utama di Timur Tengah. 

Sebarang gangguan di laluan itu berpotensi memberi kesan kepada bekalan tenaga global dan mendorong kenaikan harga minyak dunia.

Ketegangan antara AS dan Iran semakin meningkat sejak konflik ketenteraan yang tercetus awal tahun ini. 

Walaupun kedua-dua pihak pernah hampir mencapai persetujuan awal yang melibatkan laluan perkapalan di Selat Hormuz, rundingan tersebut dilaporkan menemui jalan buntu apabila masing-masing terus mengemukakan tuntutan baharu.

Susulan kenyataan terbaharu Trump, pemerhati menjangkakan proses rundingan antara kedua-dua negara akan menjadi lebih sukar, sekali gus menambah ketidakpastian terhadap usaha meredakan ketegangan di Timur Tengah dan membuka semula laluan perdagangan penting itu. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement