CRIMEA: Di tengah ketegangan antara Ukraine dan Rusia pada ketika ini, beberapa imej satelit baharu menunjukkan peningkatan ketenteraan Rusia yang berterusan di Crimea, barat Rusia dan Belarus.

Dilaporkan imej menunjukkan tekanan terus meningkat ke atas Ukraine dari tiga arah sekaligus memberi kebimbangan bahawa Kremlin merancang untuk menceroboh wilayah Ukraine.

Imej daripada Maxar Technologies, menunjukkan terdapat penempatan besar tentera di lapangan terbang Oktyabrskoye yang dahulunya tidak digunakan, di utara ibu kota Crimea.

Maxar turut menganggarkan lebih 550 khemah tentera dan ratusan kenderaan ditempatkan di lokasi dengan menyaksikan kemasukan tentera dan peralatan.

Ia termasuk di Novoozernoye, di mana terdapat penempatan artileri dan latihan ketenteraan yang meluas.

Max turut mengenalpasti satu penempatan baharu berhampiran bandar Slavne di pantai barat laut Crimea, termasuk kenderaan berperisai.

Di Belarus pula, pemerhatian Maxar turut mendapati terdapat pengerahan anggota, kenderaan tentera dan helikopter baharu di Lapangan Terbang Zyabrovka berhampiran bandar Gomel, kira-kira 25 kilometer dari sempadan Ukraine.

Dakwanya, ini adalah kali pertama helikopter dilihat di kawasan itu.

Selain itu, tentera dan beberapa kumpulan pertempuran kekal dikerahkan berhampiran bandar Belarusia Rechitsa - kira-kira 50 kilometer dari sempadan dengan Ukraine.

Terdahulu, Rusia dan Belarus dilaporkan melancarkan latihan ketenteraan bersama pada Khamis ketika ketegangan meningkat dengan negara Barat selain pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menggesa usaha diplomatik bagi mengelakkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Pemimpin di negara Barat sebelum ini memberi amaran bahawa Rusia sedang bersedia meningkatkan konflik selepas menempatkan kira-kira 100,000 tentera di sekitar Ukraine.

Amerika Syarikat (AS) berkata, Rusia turut menempatkan kira-kira 30,000 tentera di negara jiran, Belarus bagi menjalani latihan ketenteraan yang bermula pada Khamis.