SEKURANG-kurangnya 12 orang maut selepas dua bom kereta meletup di Syria, pada Ahad.

Dua bom itu meletup selang dua jam di bandar Azaz dan di sebuah kampung kira-kira 50 kilometer dari bandar itu.

Letupan di kawasan yang dikawal pembangkang Syria yang bersekutu dengan Turki itu mengorbankan enam orang awam di Azaz dan enam orang di pusat pemeriksaan di sebuah kampung berhampiran bandar al-Bab.

Seorang kanak-kanak turut dilaporkan maut di Azaz.

Menurut Pertahanan Awam Syria, pihaknya telah memberi respon kepada 11 letupan di kawasan barat laut negara itu sejak awal Januari, sebelum Ahad, yang menyaksikan 12 terbunuh.

Sementara itu, agensi berita SANA melaporkan, seorang warga Syria terbunuh pada Ahad dan empat lagi cedera di bandar timur laut Hassakeh, dalam wilayah Deir Az Zor.

Ia susulan Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin Kurdish melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pro-kerajaan yang membantah kepungan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

Kawasan ini dikenali sebagai dataran keselamatan dan dikawal oleh anggota keselamatan kerajaan. 

Konflik di Syria memasuki tahun ke-11 dengan statistik Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria menyatakan sekurang-kurangnya 348,000 orang telah terkorban, termasuk lebih 116,000 orang awam.

Konflik juga menyebabkan lebih 11 juta orang menjadi pelarian di dalam dan luar negara.