BANJARMASIN: Angka korban insiden feri Virgo Transport 8 di Laut Jawa meningkat kepada enam orang, manakala 97 lagi mangsa berjaya diselamatkan setakat petang Ahad, lapor Detiknews.
Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia (Basarnas) memaklumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan dengan penglibatan pelbagai aset laut dan udara.
Feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan kru dilaporkan hilang hubungan kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan ketika berada sekitar 150 kilometer di selatan Banjarmasin selepas berdepan cuaca buruk.
Pihak berkuasa menerima laporan kecemasan daripada operator kapal, PT Virgo, pada jam 4.10 pagi selepas feri yang berlepas dari Surabaya pada Sabtu gagal dihubungi.
Pasukan petugas melibatkan Basarnas, tentera laut dan polis maritim telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan bantuan kapal penyelamat dan helikopter bagi memperluas kawasan pencarian.
Sebuah pusat operasi khas turut dibuka di pekarangan Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin untuk membantu ahli keluarga mendapatkan maklumat terkini mengenai mangsa.
Seorang penduduk, Rusmilawati, berkata beliau masih menantikan perkembangan mengenai lapan anggota keluarganya yang menaiki feri tersebut selepas mengadakan lawatan ke makam ulama di Jawa.
Menurutnya, kali terakhir keluarga menerima khabar daripada salah seorang penumpang ialah menerusi kemas kini WhatsApp yang menggambarkan keadaan cuaca buruk dan ombak besar di laut.
Insiden itu berlaku kira-kira sebulan selepas satu kebakaran feri di perairan Indonesia yang turut mengorbankan beberapa nyawa.