SEOUL:Kes COVID-19 di Korea Selatan sekali lagi merekodkan lebih 500 kes untuk dua hari berturut-turut.

Agensi Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea mengesahkan 569 kes baharu pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu bertambah kepada 32,887 kes.

Pada Khamis lalu, buat pertama kalinya Korea Selatan mencatatkan lebih 500 kes sejak Mac.

Lonjakan kes itu dilihat selepas pihak kerajaan melonggarkan arahan penjarakan fizikal pada bulan lalu.

Pihak berkuasa berpendapat, ia berpunca daripada pembukaan semula sekolah, pejabat, hospital dan perjumpaan keluarga.

Susulan itu, Perdana Menterinya, Chung Sye-Kyun, menggesa orang ramai supaya kekal berada di rumah sepanjang hujung minggu ini.