BEIJING: China menyeru agar Ukraine dan Rusia dapat menyelesaikan krisis yang sedang melanda menerusi rundingan, selain menyokong segala usaha konstruktif yang membantu mengatasi permasalahan itu secara politik.

Menteri Luar Wang Yi berkata pendirian asas China dalam isu Ukraine adalah terbuka, telus dan konsisten.

"China sentiasa menghormati kedaulatan dan integriti wilayah semua negara.

"Keselamatan sesebuah negara tidak boleh dicapai dengan mengorbankan keselamatan negara lain, keselamatan serantau juga tidak boleh diwujud melalui perluasan blok ketenteraan," katanya dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba, pada Selasa.

Wang menegaskan, keutamaan sekarang adalah untuk meredakan ketegangan, mengelak situasi terus memburuk dan memastikan akses bantuan kemanusiaan tepat pada masanya.

Menurutnya, kerajaan China amat prihatin terhadap keselamatan rakyatnya di Ukraine dan menghargai sokongan Ukraine dalam membantu memindahkan warga China secara teratur.

"Ukraine diharap dapat mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan warga China, selain terus memberi jaminan dan kemudahan untuk urusan pemindahan berkenaan," katanya.

Difahamkan, Ukraine telah menyediakan perkhidmatan kereta api khas untuk pemindahan warga asing, selaras dengan semangat kemanusiaan antarabangsa.

Kuleba berkata China telah memainkan peranan konstruktif dalam isu Ukraine, dan pihaknya bersedia mengukuhkan komunikasi dengan China serta menantikan usaha pengantaraan China dalam merealisasikan gencatan senjata.

-- BERNAMA