PENGARUH agensi berita Rusia, RT dilihat tidak lagi relevan dan semakin berkurangan impaknya sejak krisis di antara Rusia dan Ukraine.
RT yang didakwa acapkali menyiarkan propaganda Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mendorong beberapa syarikat media sosial dan penyedia perkhidmatan siaran mengambil keputusan untuk menyekat penggunaannya.
Tindakan yang diambil ini dipercayai memberi satu tamparan hebat buat RT sehinggakan setiap naratif yang ingin disampaikan oleh Rusia, tidak jauh penyebarannya.
Meta, syarikat induk bagi Facebook dan Instagram, serta syarikat aplikasi TikTok secara berasingan mengumumkan beberapa langkah drastik setakat ini terhadap RT dengan menyekat penyiaran RT di Eropah.
Akaun penyiaran itu tidak lagi boleh diakses oleh pengguna di benua itu melalui perkhidmatan syarikat tersebut, sekali gus menghalang RT daripada menyebarkan mesej propaganda yang mahu disampaikan Rusia.
Meta sebelum ini telah mengumumkan bahawa RT tidak lagi layak untuk menjana pendapatan dengan kandungan berita di platformnya.
Bukan itu sahaja, syarikat Google juga pada Ahad, turut mengesahkan bahawa RT tidak lagi dapat memperoleh hasil pendapatan daripada iklan yang diletakkan di platformnya.
Sebelum ini juga, YouTube telah menggantung beberapa saluran Rusia, termasuk RT, yang merupakan saluran media biayaan kerajaan, daripada menjana pendapatan dari penstriman video.
KRISIS UKRAINE-RUSIA MASIH BERPANJANGAN. SEMUA ANDA PERLU TAHU ADA DI SINI
Langkah drastik sama diambil oleh saluran televisyen di seluruh dunia yang turut menggugurkan RT, kecuali di Amerika Syarikat yang hanya menyiarkan kandungan RT menerusi DirecTV dan DISH.
Apabila diminta mengulas mengenai keputusan itu, jurucakap DISH memberitahu bahawa ingatan mereka adalah bersama dengan semua rakyat Ukraine, khususnya kakitangan mereka di negara itu.
Sehingga kini, jurucakap RT masih belum memberi sebarang komen kepada media CNN berkaitan sekatan yang dibuat oleh kebanyakan pihak.