MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata pada Khamis bahawa kemaraan Moscow di Ukraine adalah mengikut rancangan yang telah ditetapkan.

Beliau juga mengarahkan pampasan besar diberikan untuk keluarga anggota tentera Rusia yang terbunuh dalam pencerobohan itu.

"Saya ingin menyatakan bahawa operasi khas ketenteraan berjalan dengan ketat seperti mengikut jadual," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

"Kami berperang dengan neo-Nazi," ujar pemimpin Rusia itu.

Putin juga berkata, tentera Rusia berjuang dengan berani seperti wira yang sebenar.

Beliau juga mengarahkan pampasan dibayar kepada anggota keluarga tentera Rusia yang terkorban di Ukraine.

Ini sebagai bentuk sokongan kepada keluarga mereka yang berjuang untuk rakyat Rusia, kata Putin.

Sehari sebelum itu, Rusia buat kali pertama menyatakan seramai 498 askarnya terbunuh sejak Putin mengarahkan pencerobohan itu pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun, Ukraine berkata, bilangan askar Ukraine yang mati itu sebenarnya jauh lebih tinggi.

Rusia telah berkata bahawa ia tidak menyasarkan kawasan awam di Ukraine walaupun terdapat bukti tenteranya bertindak sebaliknya.

Ukraine sebelum ini berkata bahawa 22 orang maut apabila tentera Rusia menyerang kawasan perumahan termasuk sekolah dan blok apartmen bertingkat tinggi di bandar Chernihiv, utara negara berkenaan. - Agensi

*Berita asal di Sinar Harian