PHNOM PENH: Taman Arkeologi Angkor yang menjadi ikon Kemboja mencatatkan penurunan 27.6 peratus dalam jumlah pelawat antarabangsa bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Xinhua.
Data daripada Angkor Enterprise milik kerajaan menunjukkan seramai 510,528 pelancong asing mengunjungi tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu dari Januari hingga September.
Kemerosotan jumlah pelawat turut memberi kesan langsung terhadap hasil, dengan pendapatan tiket berjumlah AS$24.23 juta, turun 25.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Bagaimanapun, angka bagi September menunjukkan perkembangan bercampur. Jumlah pelancong asing individu turun sedikit sebanyak 0.32 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 35,535 orang, manakala hasil tiket bulanan meningkat 3.1 peratus kepada AS$1.69 juta.
Menteri Pelancongan Kemboja Huot Hak, mengaitkan kemerosotan berpanjangan itu dengan pelbagai cabaran global dan serantau.
Antara faktor utama ialah rangkaian penipuan yang menggunakan teknologi dan beroperasi di rantau ini, ketegangan di sempadan dengan Thailand serta konflik geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan kos bahan api meningkat dan permintaan perjalanan global merosot.
Menjangkau kawasan seluas 401 kilometer persegi di Wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja, taman itu kekal sebagai tumpuan utama ekonomi pelancongan negara berkenaan.
Tapak bersejarah itu melindungi 91 kuil purba yang dibina antara abad kesembilan dan ke-13.
--BERNAMA-XINHUA