Skip to main content

Malaysia

ASEAN 2026: Malaysia, China perkukuh kerjasama AI, tingkat pemindahan teknologi

Anwar Ibrahim, berkata persetujuan itu sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang AI dan keselamatan siber yang turut menjadi antara fokus perbincangan ASEAN bersama rakan dialognya. - Gambar PMO
Anwar Ibrahim, berkata persetujuan itu sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang AI dan keselamatan siber yang turut menjadi antara fokus perbincangan ASEAN bersama rakan dialognya. - Gambar PMO
Advertisement

MANILA: China bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), termasuk pemindahan teknologi dan peluang latihan tambahan kepada rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata persetujuan itu sebahagian daripada usaha lebih luas untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang AI dan keselamatan siber yang turut menjadi antara fokus perbincangan ASEAN bersama rakan dialognya.

Katanya, kepentingan mempergiat kerjasama dalam kedua-dua bidang itu turut ditekankan dalam perbincangan ASEAN bersama Australia dan Korea Selatan.

Advertisement

"Dalam perbincangan ASEAN, termasuk dengan Australia dan Korea Selatan, kita menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dalam bidang AI dan keselamatan siber.

"Khusus dengan China, kita sudah mendapat persetujuan untuk meningkatkan kerjasama AI, termasuk pemindahan teknologi dan latihan tambahan untuk Malaysia serta negara ASEAN lain," katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, pada Isnin. 

Advertisement

Anwar berkata, Malaysia turut memberi penekanan khusus terhadap kepentingan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak ketinggalan dalam usaha rantau ini memperkasa teknologi dan meningkatkan integrasi ekonomi.

Katanya, perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan bersama China, Korea Selatan dan Australia, khususnya membabitkan bidang AI, tenaga dan perdagangan.

Beliau berkata, PMKS perlu diberikan perhatian kerana sektor itu turut menjadi antara kekuatan ekonomi ASEAN dan tidak seharusnya terpinggir akibat tumpuan berlebihan terhadap pelaburan berskala besar.

"Kita hanya memberi tumpuan kepada pelaburan besar, kelompok ini akan tertinggal," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) menjadi langkah penting dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau.

Beliau berkata, dua keutamaan utama di bawah kerangka itu ialah memudahkan pembayaran rentas sempadan dan menyelaraskan pengisytiharan kastam antara negara anggota ASEAN.

Katanya, penyelarasan berkenaan penting bagi memudahkan rujuk silang maklumat serta meningkatkan kelancaran urusan perdagangan intra-ASEAN.

Johari berkata, ASEAN menyasarkan tempoh kira-kira 180 hari bagi mengusahakan pembentukan satu platform bersama untuk semua negara anggota.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian sasaran itu bergantung kepada komitmen setiap negara anggota.

"Jika mereka mahu bergerak pantas, mereka boleh melakukannya. Jika mereka mahu mengambil masa, maka ia akan mengambil masa lebih lama," katanya.

Must Watch Video

Advertisement