Ringkasan AI
- Lebih 1,000 pelarian dan migran diselamatkan di perairan selatan Crete, Greece, ketika pihak berkuasa berdepan cabaran menyediakan perlindungan menjelang cuaca buruk.
- Dua maut dan empat cedera selepas bot terlanggar batu berhampiran Gavdos, manakala 190 migran lagi diselamatkan pada Ahad oleh pengawal pantai Greece.
- Kira-kira 2,500 pelarian kini berada di Crete, kebanyakannya rakyat Sudan, dengan pusat penempatan sementara telah mencapai kapasiti maksimum.
ATHENS: Lebih 1,000 pelarian dan migran diselamatkan dalam beberapa operasi di perairan selatan pulau Crete, Greece, ketika pihak berkuasa berdepan cabaran menyediakan perlindungan kepada mereka menjelang cuaca buruk yang dijangka melanda kawasan itu.
Menurut Reuters yang memetik seorang pegawai pengawal pantai Greece, lebih 1,000 individu diselamatkan dalam beberapa operasi berasingan pada Sabtu, manakala kira-kira 700 lagi berjaya tiba di pesisir pulau tersebut.
Media tempatan melaporkan ratusan pelarian dan migran kini berlindung di kawasan terbuka di Heraklion dan Ierapetra, dengan hujan lebat serta angin kencang dijangka melanda Crete menjelang Isnin.
Dalam satu kejadian berasingan, dua orang maut manakala empat lagi cedera selepas bot yang mereka naiki terlanggar batu berhampiran Gavdos, sebuah pulau kecil di selatan Crete.
Menteri Migrasi dan Suaka Greece, Thanos Plevris, memberitahu penyiar SKAI bahawa mayat kedua-dua mangsa ditemui pada Sabtu.
Pengawal pantai Greece turut memaklumkan seramai 190 lagi migran diselamatkan daripada tiga buah bot pada Ahad selepas dikesan oleh dron yang dikendalikan Frontex, agensi kawalan sempadan Kesatuan Eropah (EU).
Kesemua mereka dibawa ke pelabuhan di Crete untuk menerima bantuan lanjut.
Plevris berkata kira-kira 2,500 pelarian dan migran kini berada di Crete, termasuk sekitar 1,300 orang di Heraklion dan 300 di Ierapetra.
Rakaman media Greece menunjukkan ratusan individu dibawa dengan bas ke pelabuhan Heraklion, namun ramai terpaksa berada di kawasan terbuka berikutan pusat penempatan sementara telah mencapai kapasiti maksimum.
Di Ierapetra pula, pihak berkuasa menghantar 11 khemah dan dua unit penginapan pra-fabrikasi selepas kemudahan yang sebelum ini digunakan untuk menempatkan migran didapati tidak lagi sesuai.
Menurut Plevris, mereka yang diselamatkan akan dipindahkan secara berperingkat ke pusat penerimaan di tanah besar Greece minggu depan. Mereka yang layak menerima perlindungan sebagai pelarian akan ditempatkan di kemudahan yang dikendalikan kerajaan.
Beliau berkata kebanyakan individu yang tiba di Crete adalah rakyat Sudan yang melarikan diri daripada konflik di negara itu, diikuti warga Bangladesh.
Katanya, perjalanan laut dari Libya ke Eropah merupakan antara laluan migrasi paling berbahaya di dunia, namun ramai yang sanggup mengambil risiko bagi melarikan diri daripada peperangan dan ketidakstabilan.
Greece sejak sekian lama menjadi antara pintu masuk utama ke Eropah bagi pelarian dan migran dari Afrika, Asia serta Asia Barat.
Menurut akhbar Kathimerini, lebih 25,000 pelarian dan migran telah tiba di Crete sejak awal tahun ini, daripada sekurang-kurangnya 41,000 orang yang memasuki Greece melalui darat dan laut.
Pada masa sama, Greece mempercepatkan penghantaran pulang pemohon suaka yang ditolak tahun ini dan merupakan antara lima negara EU yang menyokong cadangan menghantar mereka ke sebuah pusat penempatan di Rwanda mulai tahun hadapan.