KANGAR: Star City FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.
Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan jaringan pada separuh masa pertama meskipun masing-masing berusaha mencari gol pembukaan.
Bersambung babak kedua, KL City berjaya mendahului menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-64 selepas pemain pertahanannya, Kamal Azizi dijatuhkan dalam kotak penalti.
Star City bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ramon Machado de Macedo pada minit ke-82, sekali gus menghidupkan kembali harapan tuan rumah untuk memburu kemenangan.
Perlawanan itu turut dicemari aksi kasar sehingga menyaksikan pengadil Abdul Rahman Wahab melayangkan enam kad kuning, empat kepada pemain KL City dan dua kepada pemain Star City.
Kedua-dua pasukan melakukan beberapa pertukaran pemain dalam usaha memburu gol kemenangan, namun kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.
-- BERNAMA