LOS ANGELES: Seorang lelaki bersenjata ditahan pihak berkuasa California selepas dikesan berada berhampiran padang golf milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Rancho Palos Verdes, menjelang lawatan Trump ke lokasi berkenaan untuk menghadiri majlis kutipan dana Parti Republikan.
Menurut Jabatan Sheriff Los Angeles, suspek yang dikenal pasti sebagai Jeanine John Taele, 38, ditahan pada petang Ahad selepas pihak berkuasa menemui sepucuk pistol serta peluru penebuk perisai dalam kenderaannya.
Siasatan awal mendapati lelaki itu dilihat berada di kawasan Trump National Golf Course sambil mengambil gambar dan merakam video.
Pihak berkuasa berkata suspek turut kelihatan memerhati aktiviti perancangan keselamatan di sekitar lokasi tersebut.
“Dia diperhatikan berjalan di seluruh kawasan padang golf sambil mengambil gambar dan video serta kelihatan memantau aktiviti perancangan keselamatan,” menurut kenyataan Jabatan Sheriff Los Angeles.
Tiada insiden keganasan dilaporkan berlaku dan pihak berkuasa tidak menyatakan sebarang ancaman segera terhadap Trump ketika penahanan dibuat.
Trump kini berada di California bagi menghadiri satu majlis kutipan dana anjuran Parti Republikan.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan motif suspek berada di kawasan berkenaan serta sama ada terdapat sebarang ancaman yang dirancang terhadap keselamatan presiden AS itu.