Kelibat seorang lelaki berjaket hitam mengundang tragedi berdarah dalam insiden letupan bunuh diri di Jakarta Timur pada lewat Rabu malam, lapor media Indonesia.

Insiden yang meragut nyawa dua pengebom bunuh diri dan tiga anggota polis itu menggemparkan penduduk di Kampung Melayu yang terletak berhampiran ibu kota Jakarta.

Menurut seorang saksi di lokasi kejadian, Simon Natanael, 21, suasana di perhentian Transjakarta ketika itu sesak dengan penumpang yang sedang menunggu ketibaan bas.

“Ketika orang ramai bersesak-sesak untuk menaiki bas, muncul seorang lelaki berjaket hitam yang berjalan terus ke pintu gelongsor.

“Setibanya di pintu, dia terus meledakkan bom yang berada di dalam jaketnya,” kata Simon.

Menurut Simon, letupan tersebut telah menyebabkan badan pengebom berkecai dan mencederakan seorang wanita yang berada berdekatan.

“Tubuh pengebom berkecai. Kepalanya terpelanting ke dalam ruang menunggu, manakala tangan dan badannya tercampak ke jalan,” tambah Simon.

Seorang lagi saksi kejadian, Daryanti, 33, berkata beliau masih teringat suasana panik susulan ledakan pertama.

Beliau yang merupakan petugas Transjakarta berkata ketika kejadian penumpang sedang beratur menunggu giliran untuk menaiki bas.

"Pada waktu itu, penumpang yang beratur seharusnya masuk setelah semua penumpang di dalam bas keluar. Tiba-tiba berlaku ledakan, akhirnya semua masuk semula," katanya.

Tambah beliau, bunyi ledakan tersebut cukup kuat, seperti yang biasa didengar dalam filem aksi.

Katanya lagi, beberapa minit kemudian, berlaku ledakan kedua.

"Ketika itu, setelah ledakan, semua kaca pecah. Tiba-tiba saja di pintu arah Ancol ada kepala laki-laki.

“Semua penumpang yang melihat, panik semuanya. Saya yang tadinya mengawal penumpang, akhirnya masuk ikut sama," ujarnya.

Dalam insiden letupan bunuh diri pada Rabu malam, lima individu terkorban di mana dua daripadanya ialah pengebom manakala tiga yang lain ialah anggota polis.