SONGKHLA: Polis Thailand menyangkal dakwaan letupan kedua yang berlaku di landasan kereta api Sadao sehingga mengorbankan tiga pekerja pada Selasa disebabkan kecuaian skuad pemusnah bom.

Letupan itu yang turut mencederakan empat lagi pekerja penyelenggaraan berlaku kira-kira 400 meter dari tempat kejadian pertama Sabtu lalu.

Ketua Polis Songkhla Mejar Jeneral Wara Vechapinan berkata skuad pemusnah bom telah memeriksa tempat kejadian untuk memastikan keselamatan awam.

Beliau menjelaskan terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada kerosakan peranti pengesan bom termasuk cuaca.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

BACA: 3 maut dalam letupan bom terbaharu landasan kereta api Hat Yai-Padang Besar

Tujuh pekerja rel dilaporkan berada di tempat kejadian untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan di landasan yang rosak apabila letupan berlaku kira-kira 6.30 pagi waktu tempatan.

Letupan kuat itu menyebabkan tiga pekerja maut di tempat kejadian manakala empat lagi dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Pada 3 Dis, berlaku satu letupan bom di landasan menyebabkan kereta api barang mengangkut getah yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir.

Sementara itu, State of Railway Thailand (SRT) sedang mendapatkan kerjasama daripada pihak penguat kuasa untuk meningkatkan kawalan keselamatan di tempat kejadian.

Gabenor SRT Nirut Maneepan dalam satu kenyataan berkata adalah penting untuk memastikan keselamatan pekerja yang tiba di tempat kejadian untuk membaiki landasan kereta api yang rosak akibat dibom pada Sabtu lalu.

"Kita perlu memastikan keselamatan semua termasuk pekerja, pegawai serta orang awam yang menggunakan perkhidmatan kereta api," kata beliau.

Sehingga kini, laluan kereta api Hatyai-Padang Besar masih ditutup selama beberapa hari bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.

-- BERNAMA