Lima mayat ditemukan susulan motobot hilang di selatan Filipina

Pihak berkuasa berkata, operasi pencarian masih diteruskan bagi mengesan baki sembilan lagi penumpang dan kru yang masih hilang. - Gambar hiasan
MANILA: Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Sabtu mengumumkan penemuan lima mayat daripada sebuah motobot rekreasi yang dilaporkan hilang awal minggu ini di perairan Wilayah Davao Oriental, selatan Filipina, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut kenyataan Pengawal Pantai Daerah Tenggara Mindanao, mayat-mayat berkenaan ditemukan di lokasi berasingan semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, dengan satu daripada mayat itu dikesan melalui pesawat pengawasan udara pada pagi Sabtu.
Terdahulu, sebuah bot nelayan menemukan empat lagi mayat pada jarak kira-kira 100 kilometer dari pantai Bandar Sarangani.
Pada Selasa, PCG mengumumkan bahawa pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang kru lelaki daripada kapal yang hilang itu selepas mangsa bertahan selama hampir dua hari di laut.
Motobot itu, yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai bot rekreasi, membawa empat kru dan 11 penumpang. Ia dilaporkan hilang pada Isnin, sekali gus mendorong pengawal pantai mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke kawasan terakhir bot itu kelihatan.
Pihak berkuasa berkata, operasi pencarian masih diteruskan bagi mengesan baki sembilan lagi penumpang dan kru yang masih hilang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


