Maduro kepada anak: "Kami sihat, saya seorang pejuang"

Presiden Maduro (foto) dan isterinya, Cilia Flores, kini ditahan di AS selepas tentera negara itu menjalankan operasi ketenteraan di Caracas dan tiga bandar lain di Venezuela pada 3 Jan, yang membawa kepada penahanan mereka. - Gambar fail/REUTERS
CARACAS: Ahli Parlimen Venezuela, Nicolas Maduro Guerra pada Sabtu berkata bapanya, Presiden Nicolas Maduro, menghantar pesanan melalui peguamnya yang menyatakan beliau berada dalam keadaan baik dan kekal tabah ketika ditahan di Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
"Peguam memberitahu kami bahawa mereka kuat dan kami tidak seharusnya bersedih," kata Guerra ketika berucap kepada pemimpin parti pemerintah, Parti Sosialis Bersatu Venezuela.
Beliau memetik bapanya sebagai berkata: "Kami sihat. Saya seorang pejuang."
Presiden Maduro dan isterinya, Cilia Flores, kini ditahan di AS selepas tentera negara itu menjalankan operasi ketenteraan di Caracas dan tiga bandar lain di Venezuela pada 3 Jan, yang membawa kepada penahanan mereka.
Maduro Guerra berkata bapanya kekal tidak berganjak, sambil menambah bahawa kerajaan dan penyokongnya "bersatu dan berdiri teguh".
"Kekuatan Chavismo terletak pada perpaduan. Apa pun yang berlaku, kita mesti kekal bersatu," katanya.
Pemangku Presiden Venezuela, Delcy Rodriguez pada Sabtu berikrar untuk memastikan kepulangan Maduro dan isterinya. Bercakap di sebuah acara komuniti di negeri Miranda, Rodriguez berkata tidak ada sebarang ketidakpastian mengenai kepimpinan atau program tadbir urus Venezuela.
"Tiada ketidakpastian di sini. Rakyat Venezuela yang memegang tampuk kepimpinan, dan wujud sebuah kerajaan, iaitu kerajaan Presiden Nicolas Maduro," katanya, sambil menyeru perpaduan bagi menjamin keamanan, kestabilan dan masa depan negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


