Ringkasan AI
- ICJ memutuskan Myanmar bersalah melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, menjadikannya negara pertama disabitkan kesalahan tersebut oleh mahkamah antarabangsa.
- Mahkamah mendapati kira-kira 10,000 Rohingya terbunuh dan lebih 700,000 lagi melarikan diri ke Bangladesh susulan operasi ketenteraan di Rakhine pada 2017.
- ICJ mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada mangsa, manakala keputusan bersejarah itu disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap penderitaan komuniti Rohingya.
THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, sekali gus menjadikannya negara pertama dalam sejarah yang didapati bersalah melakukan jenayah itu oleh mahkamah antarabangsa.
Presiden ICJ, Yuji Iwasawa, berkata mahkamah mendapati terdapat niat untuk memusnahkan sebahagian besar komuniti Rohingya dan pihak berkuasa Myanmar turut berusaha memusnahkan bukti bagi menyembunyikan jenayah yang dilakukan.
Menurut laporan BBC, panel hakim ICJ memutuskan dengan majoriti sembilan lawan enam bahawa bukti yang dikemukakan menunjukkan unsur niat untuk melakukan genosid merupakan satu-satunya kesimpulan munasabah yang boleh dibuat.
Kes itu difailkan oleh Gambia berhubung operasi ketenteraan Myanmar di negeri Rakhine pada 2017 susulan serangan kumpulan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) terhadap beberapa balai polis.
Operasi berkenaan mencetuskan gelombang keganasan besar-besaran yang mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Mahkamah mendapati kira-kira 10,000 Rohingya dibunuh secara ganas ketika operasi tersebut, manakala lebih 815,000 lagi menjadi sasaran pelbagai bentuk penindasan.
Iwasawa berkata tentera Myanmar terlibat dalam pembunuhan tanpa mengira sasaran, keganasan seksual secara meluas, kekejaman terhadap kanak-kanak serta pembakaran rumah penduduk Rohingya.
Mahkamah turut mendapati pasukan keselamatan menyerang etnik Rohingya ketika mereka cuba melarikan diri ke Bangladesh dan gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam keganasan berkenaan.
Myanmar sebelum ini menafikan dakwaan genosid dan menegaskan operasi ketenteraan itu bertujuan menangani ancaman militan susulan serangan ARSA.
Selain itu, ICJ turut memutuskan beberapa dasar yang dikenakan terhadap Rohingya sebelum operasi ketenteraan dilancarkan, termasuk sekatan terhadap bilangan anak dalam sesebuah keluarga, bersifat diskriminatif dan menjejaskan hak komuniti tersebut.
Mahkamah menyatakan Myanmar bertanggungjawab membayar pampasan yang setimpal kepada mangsa, namun jumlahnya akan ditentukan kemudian.
Keputusan itu disambut baik oleh komuniti Rohingya dan pertubuhan hak asasi manusia.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, menyifatkan penderitaan yang dialami Rohingya sebagai "noda kepada hati nurani kemanusiaan" dan menyeru agar keputusan mahkamah diterjemahkan kepada tindakan yang nyata.
Menurut BBC, keputusan bersejarah itu turut dijangka memberi implikasi kepada kes-kes lain berkaitan dakwaan genosid yang sedang dibicarakan di ICJ, termasuk kes yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel berhubung perang di Gaza.