DOHA: Malaysia menggesa agar aspek daya tahan telekomunikasi di lokasi ekonomi kritikal seperti pelabuhan, rangkaian kereta api, lebuh raya serta hab perindustrian diberi perhatian serius, dan memberi amaran bahawa sebarang gangguan boleh membawa kesan meluas terhadap rantaian bekalan global serta aktiviti ekonomi.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ketersambungan rangkaian yang boleh dipercayai di lokasi berkenaan semakin penting kerana infrastruktur digital kini berdepan ancaman yang semakin meningkat termasuk cuaca ekstrem, serangan siber, gangguan bekalan elektrik dan kerosakan kabel dasar laut.
Beliau berkata gangguan telekomunikasi di pelabuhan utama misalnya, boleh menjejaskan operasi pengendalian kargo, mengganggu rantaian bekalan dan mencetuskan kesan ekonomi yang melangkaui sempadan negara.
"Dalam dunia yang saling berkait hari ini, daya tahan telekomunikasi bukan sekadar memastikan rangkaian terus beroperasi sebaliknya ia turut melibatkan usaha memastikan perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi dapat diteruskan walaupun ketika berdepan gangguan," katanya.
Fahmi berkata demikian semasa Perbincangan Tematik Peringkat Tinggi mengenai Daya Tahan di Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia sedang meneroka pendekatan lebih luas terhadap ketersambungan digital dengan melengkapkan rangka kerja sedia ada Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) melalui konsep Coverage of Economic Areas (CoEA) yang dicadangkan.
Pendekatan itu akan memberikan penekanan lebih besar kepada lokasi strategik dari segi ekonomi yang mungkin mempunyai jumlah penduduk agak kecil namun amat bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi tanpa gangguan.
"Daripada cuaca ekstrem dan serangan siber hinggalah gangguan bekalan elektrik serta kerosakan kabel dasar laut, risiko yang dihadapi oleh infrastruktur digital kita kini semakin kompleks.
"Bagi Malaysia, keadaan ini menimbulkan satu persoalan penting: Adakah kita memberikan perhatian yang secukupnya terhadap aspek daya tahan ketersambungan di kawasan yang kritikal kepada ekonomi negara?" katanya.
Fahmi berkata Malaysia mencadangkan agar ITU menimbang langkah meneroka konsep CoEA bersama dengan negara anggota lain sebagai pendekatan pelengkap bagi menilai tahap ketersambungan dan menyokong pembangunan digital yang lebih inklusif serta mampan.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha memperluas liputan telekomunikasi sahaja tidak memadai jika rangkaiannya tidak dapat dipastikan mampu bertahan ketika berdepan gangguan dan pulih dengan pantas.
Fahmi berkata infrastruktur digital kritikal perlu disokong oleh lewahan yang mencukupi, laluan ketersambungan alternatif, bekalan kuasa sandaran serta keupayaan pemulihan perkhidmatan yang pantas.
Teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi satelit, juga berpotensi memperkukuh pemantauan rangkaian, kesiapsiagaan mendepani bencana serta kesinambungan perkhidmatan.
Beliau berkata kerjasama antarabangsa juga amat penting memandangkan infrastruktur digital saling berkait dan gangguan telekomunikasi berpotensi memberi kesan merentasi sempadan negara.
Fahmi juga berkata ITU boleh memainkan peranan penting dalam membantu negara anggota memperkukuh daya tahan rangkaian melalui penetapan piawaian teknikal bersama, pembangunan kapasiti dan perkongsian amalan terbaik.
"Pada akhirnya, daya tahan bukan sekadar melindungi rangkaian kita tetapi juga melindungi komuniti, perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi yang bergantung kepadanya," kata beliau.
Fahmi turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menjalin kerjasama rapat dengan ITU dan negara anggota lain ke arah membina masa depan digital yang lebih selamat, boleh dipercayai serta berdaya tahan.
-- BERNAMA