NEW DELHI: Malaysia bersetuju dengan cadangan penubuhan Konsulat Jeneral India di Kota Kinabalu, Sabah, perkembangan yang dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta memudahkan urusan konsular di antara kedua-dua negara.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi, pada Sabtu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar India, persetujuan Malaysia itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin.
Pertemuan berkenaan turut menilai perkembangan kerjasama Malaysia-India dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, semikonduktor, infrastruktur, ekonomi digital, tenaga, teknologi kewangan (fintech), pendidikan, pelancongan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
Modi turut mengalu-alukan kehadiran Anwar ke India dan menghargai penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS sebagai Negara Rakan Kongsi.
Kedua-dua pemimpin turut menilai hasil lawatan Modi ke Malaysia pada Februari lalu selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.
Dalam pada itu, Modi menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan ASEAN-India.
Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk terus memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif India-Malaysia.