Skip to main content

Dunia

Manfaatkan mata wang tempatan, henti kebergantungan pasaran Barat - PM Anwar

NEW DELHI, 13 Sept - Malaysian Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim waits to deliver his speech at the BRICS during the 18th BRICS Leaders "' Summit in New Delhi, India, today. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Menurut Anwar (foto), integrasi pasaran luas yang ditawarkan BRICS berupaya membuka peluang diversifikasi perdagangan yang kritikal, selain membina daya tahan ekonomi negara membangun daripada sebarang ketidaktentuan luaran. -Gambar Bernama
Advertisement

NEW DELHI: Negara-negara anggota BRICS perlu memanfaatkan kelebihan geoekonomi blok berkenaan secara optimum dengan mempercepat penggunaan mata wang tempatan bagi mengurangkan kebergantungan melampau terhadap pasaran tradisional Barat.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi pleno Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di Bharat Mandapam, di sini, pada Ahad.

Menurut Anwar, integrasi pasaran luas yang ditawarkan BRICS berupaya membuka peluang diversifikasi perdagangan yang kritikal, selain membina daya tahan ekonomi negara membangun daripada sebarang ketidaktentuan luaran.

Justeru, beliau menggesa inisiatif melalui Bank Pembangunan Baharu (NDB) dan mekanisme penyelesaian mata wang tempatan dilaksanakan segera tanpa sebarang kelewatan.

"Pembiayaan mestilah bertepatan dengan keperluan sebenar. Memenuhi keperluan asas dan menyediakan kemudahan awam tidak sepatutnya menyebabkan negara menanggung beban 
hutang yang tidak lestari.

"Modal komersial memainkan peranan penting asalkan ia digerakkan secara mampan, termasuk inisiatif NDB, mekanisme penyelesaian perdagangan dengan mata wang tempatan, serta potensi besar yang ada pada pasaran modal Islam," tegas beliau.

Selain instrumen kewangan, Anwar menekankan kepentingan merombak amalan perdagangan tidak adil dan memperhebat perkongsian kepakaran teknologi termaju seperti semikonduktor serta kecerdasan buatan (AI) sesama negara membangun.

Menyentuh isu geopolitik serantau, Anwar menegaskan pertumbuhan inklusif sukar dicapai selagi konflik bersenjata terus melonjakkan harga tenaga dan mengancam laluan maritim global.

Beliau mendesak BRICS menyatakan pendirian tegas menolak sebarang bentuk penjajahan serta keganasan peneroka (settler terrorism) haram rejim Israel di Asia Barat, sambil menegaskan tiada nyawa manusia yang bernilai lebih rendah hanya disebabkan tempat mereka tinggal.


Mengakhiri kenyataannya, Anwar menegaskan bahawa sebagai 'Negara Rakan' (Partner Country), Malaysia akan terus mempertahankan prinsip autonomi strategik iaitu keberanian dan kebebasan menentukan haluan sendiri demi keadilan sejagat.

Must Watch Video

Advertisement