Skip to main content
Advertisement

Dunia

Mayat wanita kesembilan ditemukan, polis Afrika Selatan siasat siri kematian misteri

Forensic investigators work at the site where the body of a woman was discovered on the outskirts of Johannesburg, South Africa, Thursday, Sept. 17, 2026. (AP Photo/Themba Hadebe)
Penyiasat forensik menjalankan siasatan di lokasi penemuan mayat seorang wanita di pinggir Johannesburg, Afrika Selatan. - Foto AP
Advertisement

JOHANNESBURG: Polis Afrika Selatan mengesahkan penemuan mayat wanita kesembilan dalam tempoh dua bulan di timur Johannesburg, sekali gus meningkatkan kebimbangan orang ramai terhadap siri kematian misteri yang menggemparkan kawasan itu.

Mangsa terbaru ditemui separuh bogel dan dibalut dengan kain cadar di tepi jalan di Dawn Park pada Khamis. Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.

Penemuan itu menambah kepada lapan kes kematian wanita lain yang direkodkan sejak Julai lalu di sekitar Ekurhuleni, kawasan metropolitan utama yang terletak berhampiran Johannesburg.

Menurut laporan media tempatan, mangsa terbaru dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan mempunyai kesan lebam serta tikaman pada tubuhnya.

Siri penemuan mayat itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk, khususnya wanita, yang kini berasa semakin tidak selamat untuk bergerak bersendirian.

Polis bagaimanapun menegaskan mereka masih belum dapat mengesahkan sama ada semua kes berkenaan mempunyai kaitan atau dilakukan oleh pembunuh bersiri.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, berikrar pihak berkuasa akan melakukan segala yang perlu bagi memburu pihak yang bertanggungjawab.

“Kami tidak akan membiarkan sebarang petunjuk terlepas pandang,” katanya sambil menyifatkan insiden berkenaan sebagai punca kebimbangan dan ketidakpastian dalam komuniti setempat.

Antara mangsa yang dikenal pasti ialah Elizabeth “Tsontso” Moselakgomo, 38, yang dilaporkan hilang minggu lalu selepas keluar berjoging. Mayatnya ditemukan tiga hari kemudian di belakang sebuah hotel di Kempton Park.

Dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai Itumeleng Kekana, yang dilaporkan hilang sejak Julai, dan Dineo Evelyn Motapane, 38, yang mayatnya ditemukan di tepi jalan di KwaThema pada Selasa.

Mayat pertama dalam siri kes itu ditemukan di Kempton Park pada 15 Julai lalu. Seorang suspek ditahan dua hari kemudian dan masih direman, namun polis belum mengaitkannya dengan kes-kes lain.

Sejak itu, beberapa lagi mayat ditemukan di kawasan termasuk Kempton Park, Olifantsfontein, Clayville dan KwaThema.

Polis telah menubuhkan pasukan khas pelbagai agensi yang melibatkan detektif, pegawai risikan, pakar forensik dan penyiasat lain bagi menentukan sama ada terdapat hubungan antara semua kes tersebut.

Mereka turut mengesan seorang individu yang dianggap penting dalam siasatan, namun enggan mendedahkan kaitannya dengan mana-mana kes.

Walaupun terdapat spekulasi mengenai kemungkinan kewujudan pembunuh bersiri, Menteri Polis Bertindak, Firoz Cachalia, meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan awal kerana siasatan masih berjalan.

Pada masa sama, pihak berkuasa menawarkan ganjaran sebanyak 400,000 rand kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada tangkapan suspek.

Polis turut menggesa wanita supaya lebih berwaspada, termasuk mengelakkan laluan terpencil, tidak berjalan bersendirian dan berkongsi lokasi atau pelan perjalanan dengan individu dipercayai.

Afrika Selatan sejak sekian lama berdepan masalah keganasan berasaskan gender yang serius. Menurut UN Women, kadar pembunuhan wanita di negara itu adalah lima kali lebih tinggi berbanding purata global.

Tahun lalu, negara itu mengisytiharkan keganasan terhadap wanita sebagai bencana nasional susulan kempen dan bantahan besar-besaran yang menuntut tindakan lebih tegas daripada kerajaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement