CUPERTINO: Apple dilaporkan sedang mempercepat pembangunan versi baharu pembantu maya Siri yang dilengkapi keupayaan kecerdasan buatan (AI) berejen dan dijangka diperkenalkan seawal 2027.
Teknologi itu berpotensi membolehkan pengguna mengautomasi pelbagai tugasan digital yang kompleks secara berterusan tanpa perlu memberikan arahan secara berasingan pada peranti iPhone, lapor Amanz.
Sebelum ini, Apple menjanjikan pembaharuan Siri berasaskan model bahasa raya (LLM), namun pembangunan teknologi itu dilaporkan mengalami kelewatan sehingga menyebabkan syarikat berkenaan ketinggalan berbanding beberapa pesaing dalam perlumbaan AI.
Versi Siri AI yang diperkenalkan menerusi kemas kini sistem operasi iOS juga masih belum ditawarkan secara meluas di semua pasaran, termasuk Malaysia.
Menurut laporan Bloomberg, Apple kini mempercepat usaha pembangunan sistem AI berejen yang mampu melaksanakan tugasan pelbagai langkah secara lebih autonomi dalam ekosistem perantinya.
Persaingan dalam sektor AI turut menyaksikan kemunculan pelbagai platform yang dibangunkan syarikat teknologi utama termasuk Meta, xAI menerusi Grok serta OpenAI.
Langkah terbaharu itu memberikan gambaran awal mengenai hala tuju pembangunan perisian Apple menjelang persidangan pembangun tahunannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.