KUALA LUMPUR: Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di Laos pada Isnin yang turut membincangkan mengenai peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea, menyuarakan kebimbangan terhadap lonjakan ujian peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara dan pelancaran peluru berpandu balistik.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Laos Saleumxay Kommasith dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan pemukiman berkenaan berkata perkembangan itu membimbangkan yang mengancam keamanan dan kestabilan serantau.

Menteri-menteri Luar ASEAN menggesa Korea Utara supaya mengambil tindakan untuk meredakan ketegangan dan menyeru semua pihak terlibat supaya menyambung semula dialog secara aman, termasuk mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah merealisasikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Semenanjung Korea tanpa senjata nuklear.

"Kami menekankan semula mengenai pentingnya pematuhan sepenuhnya terhadap semua Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang berkaitan serta undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Menurut Kommasith, Pemukiman AMM juga membincangkan situasi di Laut China Selatan, dengan beberapa menteri menyuarakan kebimbangan mengenai tebus guna tanah dan aktiviti yang telah menghakis kepercayaan dan keyakinan.

Menteri-menteri Luar ASEAN menegaskan semula mengenai perlunya usaha untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengawal diri dalam menjalankan aktiviti yang akan merumitkan atau meningkatkan pertikaian dan menjejaskan keamanan dan kestabilan serta mengelak tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan.

"Kami seterusnya menegaskan semula mengenai usaha untuk meneruskan penyelesaian pertikaian secara aman mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS)," katanya.

Mereka juga menekankan pentingnya tindakan menahan diri dalam menjalankan semua aktiviti oleh pihak yang menuntut dan semua negeri lain, termasuk yang disebut dalam Deklarasi 2002 mengenai Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC) yang boleh merumitkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.

Mereka juga menekankan keperluan untuk mengekalkan dan menggalakkan persekitaran yang kondusif untuk rundingan berterusan Tatalaku (COC) di Laut China Selatan.

Untuk terus menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Timur, Pemukiman AMM mengalu-alukan usaha berterusan untuk menghidupkan semula Mekanisme Tiga pihak Jepun, China dan Korea Selatan.

ASEAN bersedia untuk memainkan peranan yang membina untuk memudahkan penglibatan sedemikian pada mesyuarat ASEAN dengan ketiga-tiga pihak turut terlibat.

Kommasith berkata Menteri-menteri Luar ASEAN juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan berterusan keganasan dan konflik bersenjata di Asia Barat.

Mereka menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan pembebasan segera tanpa syarat tebusan dan tahanan awam, terutama wanita, kanak-kanak, orang sakit dan orang tua.

Mereka menegaskan semula sokongan ASEAN terhadap hak sah rakyat Palestin terhadap pewujudan Negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berkaitan.

Pemukiman itu juga mengambil maklum perintah mengenai langkah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa dalam keputusan sementaranya pada 26 Jan 2024.

-- BERNAMA