Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM24 juta bagi sektor pengangkutan awam pada 2027 untuk meningkatkan kadar penggunaan kepada 60 peratus.
- RM12 juta diperuntukkan untuk penambahbaikan Bas Smart Selangor, manakala RM5 juta untuk subsidi pengangkutan awam melalui Program SEL 30.
- Selangor akan membina 35 kilometer laluan pejalan kaki baharu dan memperkenalkan Selangor Mobility Nexus sebagai pusat integrasi maklumat mobiliti.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM24 juta bagi sektor pengangkutan awam pada 2027 dalam usaha meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat negeri itu kepada 60 peratus berbanding 40 peratus ketika ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu akan menyokong usaha membangunkan ekosistem pengangkutan awam yang lebih mesra rakyat, termasuk menambah baik perkhidmatan bas, menyediakan subsidi tambang dan memperluas laluan pejalan kaki.
Beliau berkata walaupun pengangkutan awam secara rasminya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Selangor sebagai negeri yang mempunyai hampir 7.5 juta penduduk perlu mengambil langkah proaktif bagi melengkapi usaha di peringkat Persekutuan.
“Bagi membangunkan sistem first mile dan last mile yang tersusun untuk melengkapi ekosistem pengangkutan awam yang sempurna di Selangor, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM24 juta pada 2027 untuk sektor ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.
Amirudin berkata sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi meningkatkan keberkesanan dan mengoptimumkan laluan Bas Smart Selangor, yang akan dijenamakan semula sebagai Bas Kita Selangor.
Katanya, penambahbaikan itu merangkumi pengurusan laluan yang lebih sistematik serta peningkatan kekerapan perkhidmatan bagi menghubungkan rakyat dengan stesen-stesen rel dan kawasan utama di negeri itu.
Beliau berkata kerajaan negeri turut memperkenalkan Program SEL 30 pada 2027, dengan peruntukan RM5 juta bagi menyediakan subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan yang dijangka memberi manfaat kepada 13,000 pengguna.
Program itu bertujuan mengurangkan kos perjalanan rakyat Selangor selain menggalakkan lebih ramai penduduk menggunakan perkhidmatan bas dan kereta api.
Dalam usaha meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, Amirudin berkata kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membina laluan pejalan kaki baharu sepanjang 35 kilometer di seluruh Selangor bagi memudahkan pergerakan rakyat ke pusat utama, termasuk stesen pengangkutan awam.
Beliau berkata Audit Pejalan Kaki juga akan dilengkapkan sebelum akhir tahun ini dan dijadikan rujukan untuk menangani isu berkaitan kemudahan serta keselamatan laluan pejalan kaki.
Selain itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan Selangor Mobility Nexus sebagai pusat integrasi data dan maklumat mobiliti bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan pengangkutan awam menerusi satu sistem bersepadu.
Amirudin berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan pertindihan aplikasi dan sistem sedia ada, sekali gus membolehkan pengguna menyemak lokasi hentian bas, waktu ketibaan bas serta maklumat laluan dengan lebih mudah.
Katanya, pembangunan Selangor Mobility Nexus akan diperkukuh oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd dengan kos RM1.5 juta, dengan tumpuan kepada integrasi data termasuk sistem perancangan perjalanan, Scan-to-Ride, aduan pengguna dan pemetaan laluan mobiliti.
-- BERNAMA