Misi FFC X TMTG: Sembilan aktivis berlepas pulang dari Istanbul

Menurut Kementerian Luar, para aktivis dijangka tiba di Terminal 1, KLIA pada jam 3.55 petang Ahad menaiki pesawat Saudia Airlines SV834. - Gambar Astro AWANI/Hilal Azmi.
KUALA LUMPUR : Kesemua sembilan aktivis Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri, memulakan perjalanan pulang ke tanah air pada jam 6 petang waktu tempatan dari Istanbul.
Mereka berlepas menggunakan pesawat komersial dari Terminal VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.
Turut mengiringi perjalanan mereka ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, serta Duta Besar Malaysia ke Republik Turkiye, TYT Sazali Mustafa Kamal.
Pesawat dijangka transit sebentar di Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke MalaysiaMenurut Kementerian Luar, para aktivis dijangka tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.55 petang Ahad menaiki pesawat Saudia Airlines SV834.
Misi kemanusiaan ini menarik perhatian dunia selepas sembilan kapal membawa aktivis antarabangsa diceroboh tentera Israel di perairan kira-kira 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lalu.
Selepas insiden tersebut, para aktivis telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel, sebelum dibebaskan secara berperingkat dan tiba di Istanbul pada petang Jumaat.
Kesemua aktivis menyertai Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) bersama 150 aktivis daripada 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad.
Selain Syaff, tujuh wakil Malaysia yang menaiki kapal Conscience berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Mereka ialah Prof Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Mohd Hasan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di atas kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 September bersama tujuh kapal layar.
Ketibaan mereka pada Ahad dijangka disambut oleh ahli keluarga, rakan serta wakil beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha kemanusiaan ke Gaza.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami