Ringkasan AI
- Malaysia menggesa kerjasama lebih erat antara negara ASEAN Plus Three untuk melindungi keselamatan ekonomi dan memastikan bekalan barangan keperluan terjamin.
- Empat bidang utama yang diberi tumpuan ialah keselamatan ekonomi, teknologi dan perindustrian, pemprosesan mineral kritikal serta keselamatan makanan.
- Malaysia turut menyeru penggunaan RCEP secara berkesan dan penekanan terhadap dialog serta keamanan serantau, termasuk isu Asia Barat dan Korea Utara.
MANILA: Malaysia menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan negara ASEAN Plus Three (APT) bagi melindungi keselamatan ekonomi serantau, memperkukuh daya tahan rantau ini serta memastikan bekalan barangan keperluan terus terjamin ketika berdepan gangguan global.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perdagangan antara ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan yang mencecah AS$1.4 trilion (RM5.72 trilion) pada tahun lalu membuktikan kepentingan kerjasama ekonomi antara negara anggota.
Beliau berkata, Malaysia melihat empat bidang utama yang boleh diperkukuh menerusi kerjasama APT, termasuk keselamatan ekonomi, teknologi dan perindustrian, pemprosesan mineral kritikal serta keselamatan makanan.
“Kita mempunyai kepentingan bersama untuk memastikan pasaran kekal terbuka dan pergerakan barangan keperluan tidak terjejas.
“Malaysia menggesa penggunaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara lebih berkesan serta penyelarasan lebih rapat bagi memastikan bekalan makanan, bahan api dan input pertanian terus bergerak ketika berlaku gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi pada Sidang Kemuncak ASEAN APT ke-29 di sini, Selasa, yang turut menyentuh empat bidang keutamaan bagi memperkukuh kerjasama serantau.
Bagi bidang teknologi dan perindustrian, Mohamad berkata, negara anggota perlu memanfaatkan kekuatan teknologi dan industri negara ASEAN Plus Three untuk meletakkan ASEAN sebagai hab penyelesaian kecerdasan buatan (AI) praktikal yang disokong tadbir urus bertanggungjawab.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia menggalakkan kerjasama lebih erat dalam pemprosesan mineral kritikal menerusi kerjasama mineral APT, dengan memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kapasiti.
Dalam aspek keselamatan makanan pula, beliau berkata, negara anggota perlu memperkukuh Rizab Beras Kecemasan ASEAN Plus Three (APTERR) serta meneroka pembentukan rangkaian rizab makanan serantau yang merangkumi komoditi keperluan selain beras.
“Kita perlu menggembleng sumber bersama bagi menghadapi kejutan bekalan secara mendadak dan memastikan keselamatan makanan serantau terus terpelihara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, ASEAN Plus Three perlu menggunakan pengaruh kolektifnya untuk menggesa penyaheskalaan konflik serta mencapai keamanan berkekalan di Asia Barat.
Beliau turut menggalakkan China, Jepun dan Korea Selatan meningkatkan sokongan terhadap usaha pembinaan semula dan pembangunan semula Gaza.
Malaysia, katanya, menyokong penekanan negara APT terhadap dialog berterusan dan kewujudan bersama secara aman.
Mengenai Korea Utara pula, beliau berkata, Malaysia akan terus menggesa negara itu supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokatif dan menyalahi undang-undang, sebaliknya mematuhi kewajipan di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta komitmen antarabangsa.