TIDAK banyak karya seni yang mampu bertahan merentasi generasi.
Lebih jarang lagi ialah karya yang berupaya kembali ke pentas selepas dua dekad dan masih berjaya mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton lama mahupun generasi baharu.
Itulah pencapaian terbesar Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) 2026.
Dipentaskan sebanyak 21 pementasan di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JC PAC), Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor dengan sokongan penaja utama yang menjadikan produksi berskala besar ini satu realiti, PGL 2026 bukan sekadar sebuah pementasan semula.
(Malam ini merupakan malam terakhir pementasan PGL The Musical)
Ia merupakan ujian terhadap ketahanan sebuah karya yang telah lama dianggap sebagai penanda aras teater muzikal Malaysia.
Kejayaan produksi ini tidak seharusnya diukur semata-mata melalui sambutan tiket atau kemegahan teknikalnya.
Untuk rekod, lebih 23,000 tiket terjual dalam tempoh dua jam sahaja!
Sebaliknya, nilai sebenar PGL terletak pada kemampuannya membuktikan bahawa karya yang dibina dengan ketelitian, disiplin dan keyakinan terhadap mutu akan sentiasa menemukan penontonnya.
Dalam konteks ini, kejayaan Tiara Jacquelina jauh melangkaui peranannya sebagai pengarah atau penerbit.
Selama lebih dua dekad, beliau tidak membiarkan Puteri Gunung Ledang terkubur sebagai nostalgia.
Sebaliknya, seniwati itu terus memeliharanya sebagai sebuah karya yang boleh ditafsir semula tanpa mengorbankan roh asalnya.
Dan kali ini, Tiara kembali bukan lagi sebagai Gusti Puteri, sebaliknya sebagai pengarah yang membentuk semula dunia yang pernah membesarkan namanya.
Usaha sedemikian sewajarnya menjadi penanda aras kepada pengkarya teater tempatan tentang bagaimana sebuah legasi dibina, dipertahankan dan diwariskan.
PGL 2026 turut mengesahkan bahawa masa depan teater muzikal di Malaysia sebenarnya lebih cerah daripada yang sering dipersepsikan.
Selama ini, banyak produksi besar dianggap hanya mampu hidup untuk satu musim.
Namun PGL membuktikan bahawa naskhah tempatan boleh mempunyai hayat yang panjang, dengan syarat ia dibangunkan melalui penulisan yang kukuh, muzik yang berdaya tahan, pengarahan yang teliti dan nilai produksi yang tinggi.
Lebih menarik, penerimaan yang diterima daripada penonton muda yang tidak pernah melalui fenomena asal dua dekad lalu membuktikan bahawa karya berkualiti tidak mengenal usia.
Dalam hal ini, kejayaan PGL menjadi bukti bahawa nilai sesebuah karya lebih penting daripada faktor nostalgia semata-mata.
Tiara Jacquelina, arkitek legasi masyhur
Jika dahulu Tiara menghidupkan Gusti Puteri dari tengah pentas, hari ini beliau berdiri di belakang tabir sebagai arkitek yang membentuk keseluruhan dunia Puteri Gunung Ledang.
Kekuatan terbesar Tiara sebagai pengarah terletak pada keberaniannya meneliti semula naskhah yang sudah dianggap klasik tanpa mengkhianati jiwanya.
Hasilnya, PGL 2026 bukan lagi sekadar kisah cinta yang terhalang, tetapi sebuah naratif yang turut membicarakan kuasa, kesetiaan, kebebasan dan hak menentukan nasib sendiri.
Beliau juga memperlihatkan disiplin seorang pengkarya yang memahami bahawa tidak semua yang lama perlu diganti dan tidak semua yang baharu akan memperkayakan karya.
Kebijaksanaan membezakan antara roh yang perlu dipertahankan dan ruang yang boleh ditafsir semula menjadi antara faktor yang memastikan PGL terus relevan.
Mungkin pencapaian paling bermakna buat Tiara bukanlah kejayaan menghidupkan semula sebuah muzikal ikonik, tetapi keberaniannya melepaskan watak yang pernah membesarkan namanya untuk diteruskan oleh generasi seterusnya.
Mila Mohsin - bintang yang mewarisi legenda
Antara perhatian terbesar dalam pementasan ini tentunya tertumpu kepada Mila Mohsin sebagai Gusti Puteri.
Cabaran yang dihadapinya bukanlah soal kemampuan semata-mata, tetapi persepsi.
Sebelum beliau melangkah ke pentas, sebahagian penonton sudah hadir dengan ukuran yang dibentuk oleh ingatan terhadap Tiara.
Justeru, kejayaan Mila tidak seharusnya dinilai berdasarkan sejauh mana beliau menyerupai ibunya, tetapi sejauh mana beliau mampu memberikan tafsiran baharu kepada watak tersebut.
Mila membawa Gusti Puteri dengan elegan, berdisiplin dan meyakinkan.
Lebih penting, beliau tidak cuba menjadi salinan kepada sesiapa. Sebaliknya, beliau membina ruang artistiknya sendiri sambil menghormati legasi yang telah sedia wujud.
Dalam banyak aspek, persembahannya membuktikan bahawa pemilihannya bukan didorong faktor hubungan keluarga, tetapi berdasarkan kesesuaian dan merit yang dimiliki.
PGL 2026 sekali gus memperlihatkan bahawa warisan seni tidak semestinya berakhir kepada generasi pertama. Ia boleh diteruskan dengan berkesan apabila bakat dan kesungguhan bertemu peluang yang tepat.
Dalam masa yang sama, kemunculan Aisha Retno juga membuktikan bahawa industri seni tempatan mempunyai kelompok bakat baharu yang semakin matang dan berani mencabar keupayaan diri di pentas besar.
Kehadirannya bukan sekadar melengkapkan barisan pelakon, sebaliknya memperlihatkan potensi besar yang boleh terus dikembangkan dalam dunia teater muzikal negara.
Tafsiran panglima Melayu oleh Aqasha
Begitu juga dengan Aqasha yang menggalas watak Hang Tuah. Tafsirannya terhadap tokoh lagenda Melayu itu memberi nafas segar tanpa menghilangkan identiti asal watak berkenaan.
Apa yang menarik, Aqasha tidak sekadar menampilkan Hang Tuah sebagai simbol kepahlawanan Melayu yang gagah dan setia.
Sebaliknya, beliau memperlihatkan sisi manusiawi seorang laksamana yang terperangkap antara cinta dan kewajipan. Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar persembahannya.
Hang Tuah dalam PGL bukan sekadar seorang pahlawan yang berjuang menentang musuh.
Beliau ialah seorang lelaki yang sedar bahawa kesetiaan yang dijunjung akhirnya memaksanya mengorbankan kebahagiaannya sendiri.
Konflik antara cinta terhadap Gusti Puteri dan tanggungjawab terhadap Sultan Mahmud menjadikan watak ini jauh lebih kompleks daripada sekadar hero tradisional.
Walaupun terdapat beberapa bahagian yang boleh diberikan lapisan emosi yang lebih mendalam, Aqasha berjaya menampilkan Hang Tuah sebagai individu yang terbelah antara dua bentuk kesetiaan.
Tafsiran ini menjadikan watak tersebut lebih dekat dengan penonton moden dan memperlihatkan bahawa tragedi terbesar seorang pahlawan bukanlah ketika beliau tewas di medan perang, tetapi apabila beliau terpaksa menyerahkan cinta demi mempertahankan prinsip yang diyakininya.
Pada akhirnya, kekuatan terbesar Puteri Gunung Ledang The Musical 2026 bukan terletak pada set pentas yang megah, kostum yang indah atau nostalgia yang mengiringinya.
Sebaliknya, ia terletak pada keyakinan bahawa karya yang baik akan sentiasa menemukan jalannya untuk terus hidup.
Pementasan ini membuktikan bahawa legasi bukan dibina dalam tempoh singkat. Ia lahir daripada kesungguhan mempertahankan standard, kesediaan menafsir semula karya mengikut zaman dan keberanian melahirkan pelapis yang mampu meneruskannya.
Lebih dua dekad selepas diperkenalkan, Puteri Gunung Ledang The Musical masih mempunyai sesuatu yang penting untuk diperkatakan.
Dan itu, bagi mana-mana karya seni, merupakan ukuran kejayaan yang paling sukar dicapai.