Skip to main content
Advertisement

Dunia

Moldova isytihar keadaan darurat 60 hari dalam sektor tenaga, hidrologi

A power station stands on the outskirts of Chisinau, Moldova, on Oct. 31, 2022. (AP Photo/Aurel Obreja, File)
Tofan berkata permulaan musim sejuk membawa "lebih banyak risiko yang berlaku serentak berkaitan bekalan gas, bahan api, elektrik dan sumber air, selain harga sumber tenaga yang tinggi". (Foto AP)
Advertisement

ISTANBUL: Moldova pada Selasa mengisytiharkan keadaan darurat dalam sektor tenaga dan hidrologi selama 60 hari, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Parlimen meluluskan inisiatif yang dicadangkan kerajaan itu menerusi undian 54-20.

Rang undang-undang bagi mengisytiharkan keadaan darurat itu dibentangkan oleh Perdana Menteri Vasile Tofan, yang menekankan keperluan langkah berkenaan bagi membolehkan tindakan segera diambil dan memastikan akses berterusan kepada sumber tenaga dan air dalam menghadapi pelbagai risiko yang berlaku serentak.

Tofan berkata permulaan musim sejuk membawa "lebih banyak risiko yang berlaku serentak berkaitan bekalan gas, bahan api, elektrik dan sumber air, selain harga sumber tenaga yang tinggi," menurut agensi berita negara Moldpres.

Beliau turut berkata keadaan berjaga-jaga dalam sektor tenaga dan hidrologi, yang mula diperkenalkan pada akhir Julai selama 30 hari dan diperbaharui bulan lepas bagi tempoh sama, dijadualkan berakhir pada Jumaat.

Beliau berkata risiko yang menyebabkan keadaan berjaga-jaga itu diperkenalkan tidak hilang, malah semakin serius.

Tofan berkata peranan kerajaan adalah "bukan untuk menunggu sehingga krisis berlaku dan kemudian menjelaskan mengapa ia tidak bertindak."

"Kita mesti mempunyai instrumen yang diperlukan sebelum krisis ini berlaku," katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan memohon pengisytiharan keadaan darurat kerana negara itu sedang memasuki tempoh apabila "risikonya lebih besar dan semakin saling berkait berbanding risiko yang boleh ditangani menggunakan instrumen yang tersedia di bawah keadaan berjaga-jaga."

"Saya berharap dalam tempoh 60 hari, kita dapat mengatakan bahawa banyak, malah sebaik-baiknya semua instrumen ini tidak perlu digunakan langsung. Itu merupakan hasil yang terbaik," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement