RAKAMAN kotak hitam daripada pesawat malang Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad mendedahkan suara panik juruterbang meminta kebenaran untuk kembali ke lapangan terbang.

Berdasarkan rakaman suara kokpit (CVR), juruterbang memberitahu yang dia mengalami masalah untuk mengekalkan kestabilan pesawat sejurus pesawat berlepas.

“Juruterbang memaklumkan kepada pengawal trafik udara bahawa dia mengalami masalah kawalan penerbangan, tetapi tiada perkara lain dinyatakan,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Tewolde GebreMariam.

Seorang pekerja yang merujuk semula komunikasi kawalan trafik udara daripada penerbangan tersebut berkata pesawat tersebut bergerak beberapa ratus kaki ke atas dan ke bawah dengan kelajuan yang luar biasa.

Jurucakap syarikat penerbangan itu mengesahkan juruterbang diberi kebenaran untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Bole sejurus berlepas, namun pesawat itu terhempas beberapa minit kemudian di Addis Ababa.


Ketika ini, pihak berkuasa Perancis sedang menganalisis data penerbangan dan perakam suara pesawat tersebut; manakala di Ethiopia, pihak berkuasa mengambil sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa untuk proses pengecaman.

Nahas pesawat Boeing 737 Max 8 itu mengorbankan kesemua 157 penumpang dan anak kapal.

Sementara itu, kerja-kerja mengutip cebisan mayat masih giat dijalankan di lokasi kejadian di Hejere, kira-kira 31 batu dari Addis Ababa.