PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata zon sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir sepatutnya berada di bawah kawalan Israel.

Beliau berkata demikian susulan ramalannya bahawa perang di Palestin dan kawasan serantau lain akan berlangsung beberapa bulan lagi.

"Koridor Philadelphi - atau lebih tepat lagi, titik perhentian selatan (Gaza) - mesti berada dalam tangan kita. Ia mesti ditutup.

"Jelas bahawa, sebarang perancangan lain tidak akan memastikan penghapusan kegiatan ketenteraan yang kita mahu," katanya pada Sabtu.

Netanyahu mengadakan sidang media ketika Israel memasuki minggu ke-13 perangnya terhadap pejuang Islam Hamas yang memerintah Gaza.

Perang tersebut kini mencetuskan keganasan di Tebing Barat oleh kumpulan yang disokong oleh Iran di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman.

Israel sebelum ini berkata, ia berhasrat untuk memusnahkan pejuang Hamas di Gaza dan menghapuskan kegiatan ketenteraan di wilayah itu bagi mengelakkan berulang kejadian pembunuhan rentas sempadan seperti yang didakwanya berlaku sejak 7 Oktober lalu.

Kata Netanyahu, perang Palestin-Israel kini berada di kemuncaknya.

"Peperangan kini berada di kemuncaknya. Kita menumpukan serangan di semua bahagian.

"Untuk mencapai kemenangan memerlukan masa. Seperti yang dikatakan oleh ketua tentera Israel (IDF), perang akan berterusan untuk beberapa bulan lagi," tambahnya. 

Netanyahu dakwa sempadan Gaza-Mesir di bawah kawalan Israel