Kerajaan New Zealand tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasa pemakaian pelitup muka secara mandatori di semua tempat awam pada masa akan datang.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern berkata, perkara itu akan dilaksanakan jika perintah sama gagal dipatuhi dalam pengangkutan awam yang dikuatkuasa Isnin ini.

Katanya, amaran itu dikeluarkan susulan terdapat dua kes jangkitan virus berkenaan dikesan di negara itu.

Tegas beliau, penggunaan pelitup muka dalam pengangkutan awam sangat penting bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.

"Ia secara tidak langsung dapat menjaga keselamatan semua pihak memandangkan punca awal jangkitan virus itu dikesan membabitkan penggunaan pengangkutan awam," katanya yang dipetik laporan AP pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Awam New Zealand, Dr Caroline McElnay berkata, kedua-dua kes jangkitan baharu itu dikaitkan dengan wabak di Auckland yang dikesan selepas ujian awal gagal menunjukkan hasil yang positif.

"Kes baharu ini dilaporkan petang semalam dan merupakan pekerja penjagaan kesihatan yang bekerja di sebuah pusat perubatan di Tokoroa," katanya.