PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern menangguhkan pilihan raya umum (PRU) negara itu selama empat minggu sehingga 17 Oktober, berikutan penularan pandemik COVID-19 ketika kempen berjalan.

New Zealand yang sebelum ini menetapkan tarikh PRU pada 19 September kini sedang bertarung menangani virus yang memaksa bandar terbesar di negara itu, Auckland, melaksanakan perintah berkurang.

"Penangguhan selama empat minggu memberikan masa yang cukup bagi semua parti politik merancang kempen mereka mengikut keadaan semasa," kata Ardern pada satu sidang media di Wellington pada Isnin.

Tekanan meningkat terhadap Ardern untuk menangguhkan pungutan suara ketika jangkitan COVID-19 di Auckland semakin meningkat, selepas negara itu bebas dari penularan tempatan selama 102 hari.

Timbalan Perdana Menteri Winston Peters, yang mengetuai parti New Zealand First, berkata pada Ahad, beliau telah menulis kepada Ardern mencadangkan supaya PRU ditangguh kepada 21 November.

Parti pembangkang utama, Parti Nasional, juga memohon penangguhan, selepas terpaksa membatalkan beberapa program kempen kerana sekatan pergerakan akibat wabak tersebut.

Malah, mereka juga menuduh Ardern menggunakan krisis untuk mendapatkan sokongan.

Ardern telah memaklumkan kepada Gabenor Jeneral New Zealand mengenai tarikh baharu pengundian, dan menegaskan tarikh berkenaan muktamad.

"Kita semua berada dalam situasi yang sama dan terpaksa berkempen dalam persekitaran yang sama," kata Ardern.

BACA: New Zealand lanjut sekatan pergerakan untuk 12 hari lagi

Pada Jumaat, Ardern memanjangkan arahan penutupan (lockdown) di Auckland yang mempunyai 1.7 juta penduduk sehingga 26 Ogos, dan menetapkan supaya penjarakan sosial dipatuhi di bandar-bandar lain.

Ketika ini, terdapat 69 kes aktif COVID-19 di negara itu.

Menurut undang-undang negara itu, PRU perlu diadakan selewat-lewatnya 21 November.