SERANTAU MUSLIM bakal menjejakkan kaki ke Syria pada minggu ini bagi melaksanakan misi bantuan musim sejuk yang bermula pada 5 sehingga 14 Februari 2022 nanti.

Misi yang diatur rapi ini disertai beberapa orang sukarelawan Serantau Muslim bersama duta rasmi, antaranya Imam Muda Hassan dan Ustazah Isfadiah.

Misi ini merupakan misi kali ke-4 Serantau Muslim ke Syria yang mana antara kelainan kali ini ialah untuk meninjau proses terakhir pembinaan bandar dan masjid di sana.

Buat julung-julung kalinya juga, Serantau Muslim menjadi NGO Malaysia pertama yang menubuhkan bandar di sana.



Township ini merupakan sebuah pangsapuri yang digabung dengan masjid yang mana akan menempatkan 216 orang pada satu-satu masa dan ia terdiri daripada 18 buah blok rumah.

Manakala masjid di dalam bandar berkenaan boleh memuatkan sehingga 1,000 orang jemaah pada satu masa.

Dalam perkembangan yang sama, Serantau Muslim akan merasmikan kilang roti yang mana sebelum ini ia terhenti atas sebab-sebab tertentu dan bakal memulakan pengoperasiannya tidak lama lagi.



Ketika pandemik selama dua  tahun sebelum ini, Serantau Muslim telah menghantar amanah para penyumbang ke sana bagi memenuhi sebahagian keperluan mereka melalui rakan kerjasama sahaja. Kini Serantau Muslim boleh bersua muka dengan para pelarian yang memerlukan untuk mengagihkan bantuan.

Pada misi kali ini juga, Serantau Muslim akan meneruskan agihan bantuan set pemanas, pakaian, makanan, tilam dan selimut kepada yang masih memerlukan di sana.



Selain daripada itu, Serantau Muslim ingin berterima kasih sebanyak-banyaknya kepada semua penyumbang yang bersama-sama sejak dulu sehingga hari ini dalam membantu minoriti Islam dan mereka yang memerlukan di seluruh negara ASEAN.

Untuk makluman umum, Serantau Muslim difahamkan musim sejuk ini berterusan dari Januari hingga awal Mac setiap tahun dan dianggarkan suhu antara mencecah bawah 0 hingga -5 darjah Celsius. Keadaan di sana juga telah menyebabkan banyak khemah musnah akibat angin kuat dan salji tebal.