Skip to main content

Dunia

Norway: Dua maut, seorang cedera parah dalam insiden tembakan

Dua orang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di Halden, tenggara Norway pada pagi Ahad, menurut polis tempatan. - Foto Christoffer Andersen/NTB/via REUTERS
Dua orang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di Halden, tenggara Norway pada pagi Ahad, menurut polis tempatan. - Foto Christoffer Andersen/NTB/via REUTERS

Advertisement

OSLO: Dua orang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden tembakan di Halden, tenggara Norway pada pagi Ahad, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.

Insiden tembakan itu berlaku kira-kira 7.30 pagi (0530 GMT) di kawasan hutan di timur Halden.

Ketiga-tiga mangsa merupakan anggota kumpulan pemburu yang sama, menurut Komander Insiden Polis Wilhelm Bjolseth kepada agensi berita Norway, NTB.

Seorang suspek lelaki ditahan oleh saksi sebelum diserahkan kepada polis sebaik anggota keselamatan tiba di lokasi kejadian.

Polis berkata maklumat awal menunjukkan suspek bukan anggota kumpulan pemburu berkenaan dan pihaknya tidak mengesyaki terdapat suspek lain yang terlibat.

Mangsa yang cedera diterbangkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Motif kejadian serta hubungan antara individu yang terlibat masih belum diketahui.

Perkhidmatan Siasatan Jenayah Kebangsaan Norway yang dikenali sebagai Kripos memaklumkan NTB bahawa pihaknya akan membantu siasatan atas permintaan polis tempatan.

Operasi kecemasan berskala besar digerakkan dengan melibatkan anggota polis, ambulans dan helikopter.

Datuk Bandar Halden Fredrik Holm berkata pihak berkuasa tempatan sedang berusaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian itu serta mengatur bantuan untuk waris mangsa.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement