Operasi percubaan pintu sempadan Rafah bermula

Pintu sempadan itu sedang menjalani operasi percubaan pada Ahad bagi memudahkan pergerakan rakyat Palestin dari dan ke Semenanjung Gaza. - AP
GAZA: Operasi percubaan pintu sempadan Rafah, satu-satunya laluan keluar Gaza ke dunia luar di sempadan Mesir, bermula pada pagi Ahad, menandakan pembukaan semula pertamanya selepas lebih setahun setengah ditutup hampir sepenuhnya semasa pencerobohan Israel, menurut media tempatan.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan bahawa pegawai media di pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Baitulmuqaddis, Shadi Othman berkata pintu sempadan itu sedang menjalani operasi percubaan pada Ahad bagi memudahkan pergerakan rakyat Palestin dari dan ke Semenanjung Gaza.
Bercakap kepada Radio Voice of Palestine, Othman berkata objektif utama pada peringkat ini adalah untuk memastikan pintu sempadan dibuka dari kedua-dua arah, membolehkan penumpang masuk dan keluar dengan lancar.
Beliau menegaskan bahawa rujukan undang-undang yang mentadbir peranan EU di pintu sempadan Rafah adalah berdasarkan perjanjian terdahulu, terutamanya Perjanjian 2005, sambil menyatakan bahawa peranan EU memfokuskan kepada pemantauan bagi memastikan pelaksanaan standard yang dipersetujui.
Othman mengingatkan bahawa EU pernah hadir semasa tempoh pembukaan pintu sempadan sebelum ini, terutamanya semasa gencatan senjata pertama, yang membolehkan sebilangan penduduk meninggalkan Semenanjung Gaza.
Pada 7 Mei 2024, tentera pendudukan Israel menceroboh masuk ke pintu sempadan darat Rafah dan menutup sepenuhnya, mengakibatkan pergerakan penumpang dan kemasukan bantuan ke Semenanjung Gaza terhenti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


