KARACHI: Tentera Laut Pakistan bersama agensi penerbangan awam negara itu hari ini memperluaskan kawasan pencarian pesawat kargo Boeing 737-400 milik K2 Airways yang dilaporkan hilang di Laut Arab.
Beberapa pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata kawasan pencarian yang luas serta keadaan laut yang mencabar menjejaskan usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Meskipun berdepan keadaan cuaca yang kurang mengizinkan, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengarahkan semua agensi berkaitan mempercepatkan operasi SAR dengan menggerakkan aset dan sumber yang diperlukan.
Ketika ini, operasi berkenaan melibatkan kapal frigat Tentera Laut Pakistan PNS Zulfiqar, aset udara Tentera Udara Pakistan serta sebuah pesawat ATR milik Tentera Laut Pakistan yang dikerahkan ke kawasan lokasi terakhir pesawat dikesan.
Selain itu, sebuah kapal komersial milik Perbadanan Perkapalan Kebangsaan Pakistan (PNSC) turut menyertai misi pencarian di kawasan perairan berkenaan.
Pesawat kargo yang membawa lima kru itu dilaporkan terputus hubungan pada malam Selasa kira-kira 155 batu nautika (287 kilometer) di barat Karachi selepas juruterbang melaporkan masalah sistem navigasi.
Data awal daripada Flightradar24 menunjukkan pesawat itu kehilangan altitud, kemudian mendaki semula sebelum mengalami satu lagi penurunan altitud yang ketara sebelum hubungan terputus.
Sehingga kini, pihak berkuasa Pakistan menegaskan status rasmi pesawat berkenaan masih dikategorikan sebagai hilang kerana tiada serpihan atau petunjuk baharu ditemui bagi menentukan lokasi sebenar pesawat serta nasib lima kru terbabit.