Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agnes Callamard, akan mengetuai inkuiri antarabangsa bagi kes pembunuhan wartawan kanan Jamal Khashoggi.

Callamard akan disertai oleh Baroness United Kingdom, Helena Kennedy, dan Professor Duarte Nuno Vieira, seorang pakar patologi forensik, kedua-duanya dari University of Coimbra, Portugal.

Menurut kenyataan PBB yang dikeluarkan pada Jumaat, inkuiri tersebut akan mengkaji dan menilai keadaan yang menyelubungi pembunuhan Khashoggi dari perspektif hak kemanusiaan.

Jamal, 59 tahun, warga Arab Saudi yang menetap di Amerika Syarikat, merupakan kolumnis The Washington Post yang terkenal lantang mengkritik pentadbiran Riyadh.

BACA: Gelak tawamu kekal dalam jiwaku - Tunang Khashoggi

Beliau hilang pada 2 Oktober 2018 selepas pergi ke konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen bagi menikahi tunangnya dan kemudiannya disahkan mati dibunuh.

Pakar-pakar PBB itu akan menilai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan yang terlibat dalam tindak balas mereka terhadap kes pembunuhan itu, serta tahap dan sifat individu-individu yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tersebut.

BACA: Rakaman audio detik pembunuhan Jamal Khashoggi didedahkan

Callamard akan melaporkan dapatannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada Jun nanti.

Beliau akan pergi ke Istanbul pada Isnin (28 Jan, 2019) untuk memulakan tugas menilai kes itu.

BACA: Imej terakhir Jamal Khashoggi disiar