Bagaimanakah rasanya apabila setelah lebih tujuh dekad hidup bersama sebagai suami isteri yang tidak pernah berenggang, tiba-tiba saja diarahkan untuk tinggal berasingan, dan ia berlaku beberapa hari sebelum Natal.

Sepasang warga emas Kanada diselubungi perasaan sedih dan pilu apabila mendapat khabar bahawa mereka terpaksa berpisah buat kali pertama dalam tempoh 70 tahun, sekali gus tidak dapat menyambut perayaan itu bersama-sama.

Herbert Goodine, 91, mendapat arahan agar meninggalkan pusat penjagaan kesihatan yang selama ini menjadi tempat tinggal dia dan isterinya, Audrey Goodine, 89, supaya dia berpindah ke rumah penjagaan lain, lapor BBC.

Pihak pengurusan pusat penjagaan di Perth-Andover, New Brunswick, itu pada Jumaat lalu menyampaikan berita tersebut, dengan menegaskan bahawa dia perlu keluar pada hujung minggu itu juga.

Kisah tersebut telah mencetuskan kemarahan di seluruh Kanada.

“Apabila berbual dengan ibu bapa saya semalam, saya terdengar ibu saya menangis teresak-esak,” kata anak perempuan mereka, Dianne Phillips, seperti yang diluahkan pada akaun Facebooknya pada Ahad.

“Ibu saya berkata, ‘Krismas sudah berakhir untuk kami, dan inilah Krismas paling buruk yang pernah kami alami. Kenapa mereka tidak boleh menunggu hingga selepas perayaan?” ujarnya.

Status berserta gambar yang dimuat naik di Facebook milik Dianne telah dikongsi sehingga lebih 18,000 kali.


Tambah Dianne, dia menerima panggilan pada Jumaat lalu dari pejabat daerah yang memantau operasi pusat penjagaan kesihatan itu.

Pihak pejabat daerah memberikan alasan bahawa bapanya, yang mengalami kemerosotan kesihatan, perlu dipindahkan ke pusat penjagaan yang memiliki sistem penjagaan yang lebih baik.

Tambahnya, ketika dia tidak dapat membuat keputusan segera, wakil pejabat daerah berkenaan telah ‘memaksa ibu bapanya membuat keputusan sendiri’.

Malah, permintaan Dianne agar pemindahan itu dilewatkan seminggu lagi, supaya mereka dapat menyambut Krismas bersama, telah ditolak.

Seorang wakil dari pusat penjagaan kesihatan itu juga telah memberi kenyataan menerusi Facebook.

“Apabila penghuni pusat ini tidak lagi dalam kemampuan kami untuk menentukan keadaan kesihatan mereka, saya perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Jika kami tidak mengikut peraturan, ia melanggar undang-undang dan saya akan kehilangan lesen. Setakat ini, keputusan telah dibuat dan saya tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.