INTERNATIONAL
Pasar malam Pakistan meriah menjelang Syawal

Orang ramai dilihat membeli-belah sebagai persiapan untuk menyambut Aidilfitri di Karachi, Pakistan. - Foto AP
KARACHI: Umat Islam di Pakistan memenuhi pasar malam pada Jumaat sejurus selepas berbuka puasa, memanfaatkan minggu terakhir Ramadan untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Pasar-pasar di Karachi, bandar terbesar negara itu, serta di Lahore, bandar kedua terbesar, dipenuhi orang ramai yang membeli-belah untuk perayaan.
Pembeli sibuk memilih barangan istimewa bagi menyambut Aidilfitri.
Bagi Pakistan, sambutan Aidilfitri dijangka jatuh pada hari Isnin (31 Mac) atau Selasa (1 April), bergantung pada penampakan anak bulan.Kerajaan telah mengumumkan cuti umum dari Isnin hingga Rabu.
Walaupun kadar inflasi di Pakistan menunjukkan penurunan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, harga barang keperluan masih meningkat berbanding hari biasa, terutamanya pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya.
Beberapa pembeli mengeluh mengenai kenaikan harga, walaupun inflasi tahunan telah menurun kepada 1.5 peratus pada Februari — kadar terendah dalam hampir sedekad dan lebih rendah daripada anggaran Kementerian Kewangan.
Menurut data Biro Perangkaan Pakistan, inflasi telah berkurangan daripada 23.1 peratus pada Februari 2024, mencerminkan pemulihan ekonomi negara.
Pakistan kini disokong oleh kemudahan kewangan bernilai AS$7 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang diberikan pada September lalu, bagi membantu kestabilan ekonomi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami