Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar pagi ini bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing di Gaza.

Mesyuarat itu diusulkan oleh wakil Jordan ke badan dunia itu selepas mendapat permintaan dari Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

AFP melaporkan mesyuarat bermula pada pukul 9.30 malam waktu New York atau 9.30 pagi waktu Malaysia.

Sebelum ini, pemimpin-pemimpin serantau yang bermesyuarat di Doha membincangkan cadangan mengadakan gencatan senjata di kedua-dua belah pihak, di mana Abbas dalam mesyuarat itu berkata "apa yang Israel lakukan di Shejaiya hari ini adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan”.

Abbas merujuk kepada serangan Israel di kejiranan Shejaiya di Gaza yang telah membunuh 72 orang penduduk Palestin dan mencederakan 250 yang lain pada hari ketiga serangan darat dilancarkan.

“Pihak yang melakukan pembunuhan ini akan dihukum,” kata Mahmoud.

Tentera Israel berkata seramai 13 anggotanya telah terbunuh di Gaza pada hari ketiga operasi darat dilancarkan.

Pihak Hamas pula telah mendakwa ia telah menawan seorang anggota tentera Israel yang telah diraikan penduduk Palestin di Gaza.

PBB sebelum ini telah bermesyuarat bagi membincangkan perkembangan di Gaza tetapi gagal mencapai sebarang persetujuan dari 15 ahlinya.

Sejak konflik di Gaza bermula pada 8 Julai, PBB mengadakan mesyuarat pertama pada 10 Julai tetapi gagal mencapai sebarang persetujuan tentang konflik di Gaza. Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon kini berada di Doha untuk mencari jalan perdamaian.