NEW YORK: Pertubuhan antarabangsa memberi amaran krisis kelaparan yang semakin meruncing di Sudan Selatan akan menyebabkan 7.8 juta orang berdepan tahap ketakjaminan makanan akut yang tinggi antara April dan Julai 2026, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam laporan Klasifikasi Fasa Ketakjaminan Makanan Bersepadu (IPC) terbaharu, berkata angka itu mewakili 56 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Advertisement
Menurut laporan itu, jumlah berkenaan adalah antara tahap ketakjaminan makanan akut tertinggi yang direkodkan di dunia ketika ini.
Laporan itu menyatakan 73,300 orang berdepan fasa “malapetaka” iaitu Fasa 5 IPC, tahap paling serius bagi ketakjaminan makanan akut.
Angka itu meningkat 160 peratus berbanding anggaran sebelum ini.
Sebanyak 2.5 juta penduduk pula berada dalam fasa “kecemasan” atau Fasa 4 IPC, manakala 5.3 juta lagi berada dalam fasa “krisis” atau Fasa 3 IPC.
Tiga agensi PBB itu berkata krisis berkenaan diburukkan oleh konflik yang semakin meningkat, perpindahan besar-besaran, kemerosotan ekonomi, kejutan iklim, banjir serta pengeluaran pertanian di bawah paras normal.
Keadaan itu mengurangkan ketersediaan makanan dan mengehadkan kemampuan keluarga mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi.
Laporan IPC ialah inisiatif global yang membabitkan agensi PBB, rakan serantau dan pertubuhan bantuan.
IPC mengklasifikasikan ketakjaminan makanan kepada lima fasa, dengan kebuluran sebagai tahap paling serius.
-- BERNAMA-QNA