GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa pihak berkuasa Myanmar melumpuhkan bantuan menyelamatkan nyawa, menggesa kerajaan negara itu membenarkan akses kemanusiaan ke negeri yang dilanda taufan, lapor Anadolu.

"Kami menggesa Majlis Pentadbiran Negeri mempertimbangkan semula keputusan dan mengembalikan semula kelulusan awal pengagihan bantuan dan pengangkutan," kata jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke, pada taklimat PBB di Geneva.

Sebulan selepas siklon Mocha melanda Rakhine, Majlis Pentadbiran Negeri Myanmar telah menyekat akses kemanusiaan ke kawasan itu.

Keputusan itu bukan sahaja "melumpuhkan pengagihan makanan, air minuman, bekalan tempat tinggal dan bantuan lain kepada komuniti yang terjejas bahkan menjejaskan perancangan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Rakhine dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

"Sejak taufan melanda pada 14 Mei, bantuan kemanusiaan telah menjangkau semakin ramai orang walaupun kebenaran yang terhad oleh pihak berkuasa de facto kepada organisasi yang telah lama beroperasi di Rakhine," katanya.

Dalam tempoh itu, hampir 110,000 orang menerima bantuan tempat tinggal dan bahan bantuan lain, katanya dan menambah bantuan makanan telah mencecah hampir 300,000 individu di Rakhine.

Bagaimanapun, Majlis Pentadbiran Negeri telah mengubah keputusannya.

Beliau berkata pengagihan bantuan dan pengangkutan juga telah dihentikan di Negeri Chin.

Memetik Penyelaras Residen dan Kemanusiaan PBB, Ramanathan Balakrishnan, beliau berkata penafian akses itu dijangka mendedahkan penduduk kepada kekurangan makanan selain terdedah kepada penyakit bawaan air.

Siklon Mocha membadai pantai antara Cox's Bazar dan perbandaran Kyaukpyu di Myanmar pada 14 Mei.

-- BERNAMA