Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pekerja automotif Jerman protes pengurangan tenaga kerja, penutupan kilang

81449739143_Volkswagen.jpg
Pekerja syarikat pengeluar kenderaan dan pembekal diseru menyertai demonstrasi di seluruh negeri di Jerman. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Kesatuan sekerja industri terbesar Jerman, IG Metall, melancarkan protes di seluruh negara pada Isnin bagi membantah pengurangan tenaga kerja dan langkah penjimatan kos dalam sektor automotif negara itu yang sedang berdepan kesukaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Di bawah slogan “Masa depan, bukan kemusnahan - solidariti ialah jenama terkuat kita”, pekerja syarikat pengeluar kenderaan dan pembekal diseru menyertai demonstrasi di seluruh negeri di Jerman, menurut penyiar awam ARD.

Lebih 200 acara termasuk mesyuarat di tempat kerja, protes semasa waktu rehat makan tengah hari yang dilanjutkan, perarakan dan perhimpunan awam dirancang di pusat industri automotif utama seperti Wolfsburg, Zwickau dan Stuttgart.

Kesatuan itu menjangkakan lebih 100,000 orang menyertai hari tindakan berkenaan.

“Kami kini berdepan serangan yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap pekerja dalam industri automotif,” kata Pengerusi IG Metall Christiane Benner, sambil menyatakan pekerja terpaksa menanggung kesan paling buruk daripada krisis sektor berkenaan.

“Perkara ini mesti dihentikan,” katanya.

Menjelang rundingan gaji akan datang, IG Metall menuntut pelaburan lebih besar di lokasi pengeluaran di Jerman serta pengekalan waktu bekerja 35 jam seminggu.

Kesatuan itu turut menggesa kerajaan membantu melindungi industri berkenaan dengan menurunkan harga elektrik dan mengurangkan birokrasi.

Sektor automotif Jerman berdepan tekanan yang semakin meningkat akibat persaingan lebih sengit dari China, kemudahan pengeluaran yang tidak digunakan sepenuhnya serta peralihan kepada kenderaan elektrik yang memerlukan kos tinggi.

Beberapa pengeluar dan pembekal mengumumkan program penstrukturan semula dalam usaha mengurangkan perbelanjaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan secara meluas dan kemungkinan penutupan kilang.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement