Skip to main content

Dunia

Pelajar Itali turun ke jalan raya tuntut pembaharuan sistem persekolahan

Penunjuk perasaan membawa sepanduk menggesa mogok umum ketika berarak dalam demonstrasi pelajar di Rom, Itali. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan membawa sepanduk menggesa mogok umum ketika berarak dalam demonstrasi pelajar di Rom, Itali. - Foto REUTERS

Advertisement

ROM: Puluhan ribu pelajar di Itali dianggarkan menyertai demonstrasi pada Jumaat bagi menuntut penambahbaikan keadaan sekolah mereka, menyusuli tindakan pelajar di Perancis yang mengadakan protes sejak akhir September bagi membantah keadaan sistem pendidikan negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Walaupun demonstrasi di seluruh negara berlangsung secara aman di kebanyakan bandar, protes di bandar Turin di barat laut Itali bertukar ganas apabila puluhan penunjuk perasaan membaling batu, botol kaca dan suar ke arah pasukan keselamatan, menurut saksi.

Polis bertindak menggunakan meriam air dan gas pemedih mata, menurut saksi yang turut memaklumkan bahawa ratusan penunjuk perasaan memakai pelitup muka.

Demonstrasi turut diadakan di ibu negara, Rom, dan Milan, pusat kewangan Itali. Sambil melaungkan slogan dan membawa sepanduk, peserta menyatakan sokongan terhadap pelajar di Perancis serta melaungkan slogan dalam bahasa Perancis seperti "Tout le monde déteste la police" (Semua orang benci polis).

Seperti di Perancis, penunjuk perasaan di Itali turut menuntut penambahan bilangan guru, kelengkapan sekolah yang lebih baik serta penambahbaikan keadaan pembelajaran.

Protes itu juga ditujukan terhadap undang-undang pendidikan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan campuran berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni, yang merancang untuk mengehadkan peratusan pelajar warga asing yang kurang menguasai bahasa Itali mulai tahun persekolahan akan datang.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement