LINZ: Penyerang skuad kebangsaan Israel, Saied Abu Farchi, dilayangkan kad merah ketika aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Austria selepas sambutan golnya mencetuskan kontroversi.
Insiden itu berlaku sejurus selepas pemain berusia 20 tahun tersebut menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan pada minit ke-55 perlawanan di Raiffeisen Arena, di sini.
Abu Farchi kemudian berlari ke kawasan penjuru padang, mencabut tiang bendera penjuru dan membuat gaya seolah-olah melepaskan tembakan menggunakan tiang berkenaan sebagai sebahagian daripada sambutan golnya.
Tenía amarilla. Sayed Abu Farkhi, futbolista israelí, hace esa celebración tras marcar el 1-1 para Israel.
Segunda amarilla. Acaba expulsado.
pic.twitter.com/XDgdxU7BUf— Offsider (@Offsider_ES) September 24, 2026
Pengadil perlawanan terus melayangkan kad kuning kedua kepada pemain Colorado Rapids itu sebelum mengarahkannya keluar padang.
Abu Farchi sebelum itu telah menerima kad kuning pertama empat minit lebih awal.
Pengusiran tersebut menyebabkan Israel terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain untuk baki perlawanan.
Austria memanfaatkan kelebihan itu apabila meningkatkan tekanan serangan sebelum Phillipp Mwene menjaringkan gol pada minit ke-90.
Saša Kalajdžić kemudian menambah gol ketiga pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-1 buat tuan rumah.
Terdahulu, Austria membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Romano Schmid pada minit ke-43 sebelum Abu Farchi menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.