KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan kata-kata semangat kepada penyanyi Aina Abdul yang mewakili Malaysia berentap di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand pada 14 Nov ini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata penyertaan Aina membuktikan bakat dan karya anak Malaysia mampu melangkah jauh serta bersaing di pentas antarabangsa.
“Pastinya, seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Aina dapat memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat.
“Selamat maju jaya buat Aina Abdul yang akan membawa nama Malaysia di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 di Bangkok, Thailand. Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua. Terbang tinggi, Aina!” katanya.
Pemilihan Aina sebagai wakil Malaysia pada pertandingan itu diumumkan semasa Anugerah Juara Lagu ke-40 pada 15 Ogos lepas.
Penyanyi itu bakal mendendangkan lagu Bluest Sky pada pertandingan berkenaan yang menghimpunkan peserta dari 11 negara Asia.
Berdasarkan susunan persembahan yang diumumkan penganjur pada 29 Okt lepas, Aina dijadualkan tampil sebagai peserta ke-11 dan terakhir.
-- BERNAMA