PEMIMPIN Hamas pada Rabu mengadakan lawatan ke Mesir, sekali gus meningkat harapan bahawa Israel dan kumpulan itu mungkin menuju ke arah satu lagi perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan dalam perang di Gaza.

Ketua Hamas yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh, tiba di Kaherah bagi perbincangan mengenai pencerobohan di Semenanjung Gaza dan perkara-perkara lain.

AFP yang memetik sumber sebagai berkata, Ismail dijadual bertemu ketua perisik Mesir untuk perbincangan mengenai menghentikan pencerobohan dan perang, selain menyediakan perjanjian bagi pembebasan tahanan.

Sementara itu, Reuters melaporkan Ismail sebelum itu turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Iran Hossein Amir Abdollahian di Qatar.

Media antarabangsa itu melaporkan rundingan intensif Qatar dan pengantara Mesir sedang berlangsung di Kaherah, juga kemungkinan berhubung gencatan senjata kedua di Gaza.

Sumber Reuters menambah, Hamas mungkin akan mengembalikan beberapa tebusan sebagai pertukaran untuk Israel membebaskan tahanan Palestin.

Begitupun, bilangan individu yang dijangka dibebaskan masih dibincangkan, dengan Israel menegaskan bahawa wanita dan tebusan lelaki yang lemah akan dimasukkan dalam senarai.

Qatar, yang disokong oleh Mesir dan Amerika Syarikat membantu menyelesaikan gencatan senjata selama seminggu dan pertukaran tebusan pada November lalu.

Seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin.